Kabel dan peralatan yang disyaki digunakan untuk memotong kabel, yang dijumpai ketika pemeriksaan ke atas dua motokar di Glenamri, semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima individu yang disyaki terlibat dengan kes kecurian kabel di kawasan Hicom Glenmarie Industrial Park Shah Alam, kira-kira jam 4.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Polis Mohd Iqbal Ibrahim berkata, penahanan dilakukan selepas sepasukan anggotanya yang melakukan rondaan memeriksa dua kereta yang mencurigakan.

“Pemeriksaan secara terperinci ke dalam kedua-dua motokar itu telah menemui sejumlah kabel milik Syarikat Telekom Malaysia Berhad yang dipercayai dicuri dan peralatan memotong kabel,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelima-lima suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita India itu berusia lingkungan 24 hingga 47 tahun.

Katanya, suspek lelaki masing-masing berkerja sebagai pemandu lori, operator kilang dan penganggur.

Manakala kedua-dua suspek wanita yang mana masing-masing merupakan isteri dan ibu kepada suspek-suspek lelaki berkenaan, tidak bekerja.

Menurut Iqbal, kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan dadah.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek pertama dan kedua positif dadah jenis Methamphetamine, manakala tiga lagi suspek disahkan negatif dadah,” tambahnya.

Mahkamah membenarkan reman terhadap tiga suspek lelaki selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Oktober manakala dua lagi suspek wanita direman selama dua hari bermula 12 hingga 13 Oktober ini.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here