Anwar bergambar bersama pengamal media yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan Ke-45 serta Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, Laos bermula pada Rabu lalu. Gambar: Facebook Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Misi delegasi Malaysia sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan Ke-45 serta Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, Laos bermula Rabu lalu, berjalan dengan lancar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sepanjang tiga hari beliau telah mengetuai delegasi Malaysia dalam lebih 30 acara, persidangan, mesyuarat dua hala dan kunjungan hormat bersama pelbagai negara pertubuhan antarabangsa.

“Saya telah menzahirkan pendirian Malaysia dalam pelbagai perkara antaranya penegasan untuk ASEAN mengekalkan prinsip sebagai blok bebas dan mengekalkan hubungan dua hala dengan kuasa besar sama ada Amerika Syarikat (AS), China, Russia atau Kesatuan Eropah (EU).

“Dalam setiap persidangan dan mesyuarat dua hala, saya tetap mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk keras kekejaman Israel di Gaza dan kini di Lubnan, serta menggesa masyarakat dunia lantang bersuara mengecam pelanggaran hukum antarabangsa secara sewenang-wenangnya oleh rejim zionis.

“Krisis politik di Myanmar juga menjadi perhatian Malaysia di Vientiane, yang mana saya menyeru kepada penyelesaian damai tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Malaysia sedia membantu menerusi mekanisme ASEAN,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri berkata, isu pertikaian di Laut China Selatan turut dibangkitkan dan beliau menegaskan kepentingan untuk semua pihak menyelesaikan isu tuntutan secara diplomasi mengikut jalur hukum antarabangsa, terutama UNCLOS 1982, in resolving disputes in the South China Sea.

“Saya turut menggalakkan rakan-rakan ASEAN untuk mempertingkat perdagangan dan pelaburan dengan rakan dialog seperti Jepun, Korea, China, Australia, New Zealand dan EU.

“Kemuncak persidangan ini adalah di hari terakhir, di mana Malaysia secara rasminya menerima tugas sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Laos atas layanan baik sepanjang berada di Vientiane.

“Sekalung penghargaan juga kepada petugas media Malaysia yang mengikuti perjalanan delegasi negara di sini. Insya-Allah, kita bertemu semula di Malaysia tahun depan,” ujarnya.

Semalam, Malaysia menerima tugas sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025, daripada Laos.

Upacara simbolik serahan tugas kepada Malaysia yang akan bermula pada 1 Januari 2025 itu dibuat Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone kepada Anwar pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC). – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here