Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil beramah mesra bersama penduduk yang melakukan pemeriksaan kesihatan pada Program Kesihatan Lembah Pantai bersama IMU di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Pelajar yang memegang dan mengibarkan bendera China di sebuah sekolah swasta di Pulau Pinang hingga tular di media sosial baru-baru ini bukan warganegara Malaysia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mengesahkan perkara itu berkata, mereka adalah sebahagian daripada 33 pelajar yang berasal dari negara Tembok Besar China.

Katanya, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai telah menjelaskan bahawa kesemua pelajar terbabit mendapatkan pendidikan di Sekolah Menengah Chun Ling (persendirian). 

“Terdapat gambar lain menunjukkan pelajar warga China, pelajar Malaysia kedua-duanya bersekolah di situ bersama dalam satu aktiviti dan mereka mengibar bendera negara dan negeri masing-masing.

“Dan saya nampak (dalam gambar) ada pelajar warga China kibarkan bendera China, ada juga pelajar yang mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Pulau Pinang,” katanya.

Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas hadir ke Program Kesihatan Lembah Pantai bersama IMU di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2024.

Susulan itu katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengenal pasti individu yang menyebar maklumat palsu kononnya pelajar Malaysia mengibarkan bendera China.

“Saya telah minta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas kerana mereka cuba menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. Seolah-olah masyarakat membenarkan perkara seperti ini berlaku. Jadi ini tuduhan yang sangat jahat.

“Jadi sekali lagi saya ingatkan, sebelum kita memberi komen dalam sesuatu perkara, sila selidik dulu apakah sebenarnya sedang berlaku dapatkan fakta sepenuhnya sebelum mebuat tomahan, fitnah atau mengeluarkan komen yang mungkin akan kita sesali kemudian,” ujarnya.

Terdahulu, tular dua keping gambar yang dimuat naik di media sosial memaparkan pelajar sebuah sekolah menengah swasta di Pulau Pinang memegang bendera China.

Hantaran tersebut menunjukkan satu gambar berkumpulan antara pelajar sekolah, guru dan tetamu jemputan yang dipercayai dari China di dalam satu majlis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast