Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil beramah mesra bersama penduduk yang melakukan pemeriksaan kesihatan pada Program Kesihatan Lembah Pantai bersama IMU di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Tindakan platform media sosial TikTok Malaysia memberhentikan pekerjanya baru-baru ini tidak menjejaskan atau memberi kesan negatif dalam pengoperasian mereka di negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia termasuk hubungan kerjasama syarikat aplikasi itu dengan pihak berkuasa khususnya dalam aspek penelitian dan saringan kandungan serta siar langsung (live).

“Berdasarkan pertemuaan bersama TikTok Malaysia semalam, mereka memklumkan jumlah tenaga kerja di negara ini masih tinggi sekitar 3,700 orang dan yang diberhentikan hanya 481 orang bukan 700 seperti yang diwar-warkan.

“Malah TikTok akan membuka beberapa jawatan baharu dan menambah jumlah pekerja kerana terdapat beberapa perkhidmatan yang akan mereka sediakan termasuklah pengkomputeran awan dan pusat data,” katanya pada pemberita.

Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berucap pada Program Kesihatan Lembah Pantai bersama IMU di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 OKTOBER 2024.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri sesi Program Kesihatan Lembah Pantai bersama IMU Cares di PPR Kerinchi di sini hari ini.

Tambah beliau, syarikat pengedali aplikasi itu juga memaklumkan kebanyakkan jawatan yang diberhentikan adalah melibatkan pasukan penyederhanaan kandungan firma (moderation) yang bukan hanya  berlaku di Malaysia sahaja.

“Di mana sahaja mereka (TikTok) beroperasi dan ada pasukan moderation, memang jumlah pekerja bahagian ini dikurangkan tetapi ia tidak mendatangka kesan negatif kepada operasi mereka di sini.

“Malah ia juga tidak menjejaskan hubungan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC),” jelasnya.

Terdahuu, media melaporkan ratusan pekerja daripada tenaga kerja globalnya, termasuk sebilangan besar kakitangan TikTok di Malaysia, telah diberhentikan.

Langkah tersebut diambil bagi mengalihkan tumpuan ke arah penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih meluas dalam penyederhanaan kandungan.

Dua sumber yang mengetahui perkara itu sebelum ini memberitahu Reuters bahawa lebih 700 pekerjaan telah dikurangkan di Malaysia.

TikTok, yang dimiliki oleh ByteDance China, kemudian menjelaskan bahawa kurang daripada 500 pekerja di negara ini terjejas.

Pekerja yang terjejas, kebanyakannya terbabit dalam operasi penyederhanaan kandungan firma, dimaklumkan mengenai pemecatan mereka melalui e-mel lewat Rabu lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here