Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR – Reman wanita yang dipercayai merempuh dua motosikal dinaiki empat penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu sehingga menyebabkan tiga daripadanya maut, akan tamat esok.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, pihaknya belum dapat memaklumkan sama ada tempoh reman akan dilanjutkan atau tidak.

Katanya, sebarang perkembangan akan diketahui selepas Mahkamah Kuala Terengganu membuat keputusan, esok.

“Kita sedang melakukan siasatan terperinci terhadap kes ini”, katanya.

Wanita berusia 49 tahun itu merupakan suri rumah beranak tiga, telah direman selama empat hari.

Media sebelum ini melaporkan wanita yang dipercayai mengalami masalah mental itu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di sini pada 9 pagi kelmarin dalam keadaan seperti terpinga-pinga.

Terdahulu, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi rakan parah selepas dua motosikal yang dinaiki mereka dirempuh suspek yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.

Tiga mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor.

Manakala Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dari Kuala Lumpur cedera di pinggang dan sedang dirawat di Hospital Dungun. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here