Li Gui Fang. Ihsan Foto : Agensi

BEIJING – Seorang nenek berusia 92 tahun dari China, yang buta pada sebelah matanya, telah membuktikan bahawa usia dan kekurangannya bukan penghalang untuk mencapai markah tertinggi dalam aktiviti menembak di Kazakhstan.

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), Li Guifang menunjukkan kemahirannya semasa melawat Kazakhstan bersama anaknya dari wilayah Zhejiang di timur China.

Li pernah berkhidmat sebagai askar dalam Tentera Sukarelawan Rakyat China (CPVA) semasa Perang Korea pada awal 1950-an.

Video Li Guifang yang dimuatnaik oleh anaknya, Wang, di Douyin pada awal Oktober telah mendapat 500,000 tanda suka dan 20,000 komen daripada netizen.

Pada mulanya, pusat menembak di Kazakhstan enggan membenarkan Li melepaskan tembakan kerana faktor usianya. 

Namun, setelah mengetahui Li veteran tentera, mereka membenarkannya menggunakan senapang kecil dengan alat penglihatan dan jarak minimum. 

Penglihatan mata kanan Li terganggu akibat katarak.

Menurut Wang, ibunya perlu menggerakkan kepalanya dan hanya bergantung pada keupayaan melihat mata kirinya untuk menembak.

“Ia lebih mencabar untuknya berbanding orang lain, tetapi dia berjaya memperoleh keputusan yang baik dengan memberi tumpuan sepenuhnya,” katanya.

Dalam satu pusingan menembak dengan sasaran 10-ring, Li melepaskan 10 tembakan dengan tujuh daripadanya mengenai sasaran dalam, dan tiga lagi di luar, membolehkan warga emas itu memperoleh 97 mata.

Manakala dalam pusingan lain, nenek itu sekali lagi berjaya mencapai markah tinggi iaitu 87 mata. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast