Foto: Fb Baba Siddique

MUMBAI – Seorang ahli politik mati ditembak semalam, menjelang pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi, dengan polis menyiasat hubung kait kejadian itu dengan kumpulan jenayah.

Bekas menteri di negeri Maharashtra, Baba Siddique, 66, ditembak beberapa kali di dada ketika berada di pejabat anaknya di Mumbai, lapor media India.

Timbalan Ketua Menteri Maharashtra, Ajit Pawar dari parti yang sama dengan Siddique berkata, beliau terkejut dengan ‘serangan pengecut’

Akhbar Hindustan Times melaporkan dua suspek telah ditahan dan polis sedang memburu individu lain.

Rangkaian televisyen NDTV berkata, dua suspek mendakwa mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan Lawrence Bishnoi yang kini dipenjarakan kerana didakwa mengendalikan sebuah kumpulan jenayah yang melakukan pembunuhan.

Insiden pembunuhan itu berlaku beberapa hari selepas tahap keselamatan Siddique dipertingkatkan berikutan beliau menerima ancaman bunuh.

“Insiden ini akan disiasat dengan terperinci dan tindakan tegas akan diambil terhadap penyerang-penyerangnya.

“Dalang di belakang serangan ini akan dijejaki,” kata Pawar menerusi kenyataan.

Siddique mempunyai hubungan rapat dengan beberapa bintang Bollywood dan beliau sering dikaitkan dengan penganjuran parti secara besar-besaran. – AFP

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here