KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Filipina bermula esok.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ahmad Zahid dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Ferdinand R Marcos Jr dan Naib Presiden, Sara Duterte semasa lawatan itu.
“Selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap pengurusan bencana, Timbalan Perdana Menteri juga akan mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Peringkat Menteri Asia-Pasifik ke-10 bagi Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR).
“Timbalan Perdana Menteri juga akan menyampaikan kenyataan negara berhubung inisiatif, pelaksanaan, pencapaian dan cabaran dalam melaksanakan Kerangka Kerja Sendai bagi Pengurangan Risiko Bencana (SFDRR) 2015-2030,” menurut kenyataan itu.
Ahmad Zahid juga akan menghadiri majlis sambutan yang dihoskan oleh Presiden Filipina.
Menurut kenyataan itu, lawatan beliau menggambarkan hubungan erat antara Malaysia dan Filipina terutama ketika kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik.
Pada 2023, Filipina adalah rakan dagang ke-17 terbesar Malaysia di peringkat global dan kelima terbesar dalam kalangan rakan ASEAN dengan keseluruhan nilai dagangan sebanyak RM36.12 bilion (USD7.92 bilion).
Dari Januari hingga Julai 2024, jumlah nilai dagangan meningkat 5.6 peratus kepada RM22.41 bilion (USD4.75 bilion) berbanding RM20.08 bilion (USD4.48 bilion) dalam tempoh yang sama tahun lepas. – Bernama