Gambar hiasan

KUANTAN – Nelayan persisir pantai kurang senang setelah mendengar ura-ura insentif Elaun Sara Hidup Nelayan bakal dihapuskan oleh kerajaan meskipun belum diputuskan secara rasmi.

Bagi golongan nelayan di Kampung Baru yang terletak di Perkampungan Beserah di sini, mereka berharap pemberian itu diteruskan bagi menampung kehidupan ekoran pendapatan hasil laut semakin tidak menentu.

Mamat Rakna, 67, berharap insentif itu diteruskan kerana dapat meringankan kos hidup nelayan, sekurang-kurangnya dapat membeli barangan keperluan dapur jika tidak dapat turun ke laut.

”Saya harap elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM300 setiap bulan dikekalkan, kita harap pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan merayu kepada kerajaan supaya ia diteruskan.

“Kebelakangan ini banyak cerita yang mengatakan kes elaun sara hidup nelayan dipotong, kalau umur dah tua pun tak boleh dapat dah (elaun).

”Lepas tu kena patuhi banyak syarat seperti nak ada lesen, memiliki bot, ada kad nelayan dan aktif ke laut. Kalau jadi awak-awak tapi tiada bot masih boleh memiliki kad nelayan untuk mendapatkan elaun,” katanya.

Tambat Mamat yang lebih 40 tahun menjadi nelayan, dia juga berharap kerajaan meneliti untuk memperluas pemberian bot dan enjin kepada golongan berkenaan.

Ujarnya, ketika ini penerima di sesebuah kawasan adalah terhad.

Umum mengetahui katanya tidak semua nelayan mampu memiliki bot sendiri kerana kos yang tinggi termasuk kos menyelenggara enjin bot apabila rosak.

”Nelayan nak bot dan enjin, kalau bot 20 kaki berharga RM18,000, enjin manual sekarang berharga RM13,000 tak termasuk alat penangkapan ikan. Ada sesetengah nelayan perlukan penangkapan ikan seperti bubu dan pukat.

”10 tahun lalu saya dapat sebuah bot beserta enjin masa zaman bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib, saya dengar ada juga sekarang mengikut pelbagai saluran.

”Bot nelayan memang enjinnya selalu rosak, bila nak mohon bank payah sangat sebab itu harap dapat bantuan,” katanya lagi.

Senada dengan itu bagi Zahari Sidek, 57 tahun juga berharap pemberian elaun kepada golongan nelayan dikekalkan dalam Belanjawan 2025 nanti.

Dari kiri Mamat Rakna, Abdul Mutalib Abdul Rahman dan Zahari Sidek

Beliau berkata pendapatan nelayan begitu terjejas kerana gangguan daripada aktiviti pukat tunda di perairan negeri ini.

”Elaun sara hudup dan subsidi  masih berjalan setakat ini di mana RM 300 untuk juragan manakala awak-awak dapat RM 200.

”Kami harap kerajaan bantu kami nelayan persisir kerana banyak masalah selain pendapatan semakin berkurangan,” katanya.

Manakala bagi Abdul Mutalib Abdul Rahman, 42, beliau berharap kerajaan terus memantau aktiviti pukat tunda di kawasan laut kerana jumlah bot berkenaan dilihat semakin meningkat.

Selain itu pihaknya merayu agar permohonan lesen bagi aktiviti menangkap ikan dimudahkan tanpa kaedah birokrasi.

”Sebelum ini pernah dapat bantuan seperti tong air ais batu, harapnya dapat lagi bantuan penangkapan ikan.

”Kadang-kala kami cekalkan hati untuk turun pada monsun untuk mencari ikan lebih kerana ingin menampung pendapatan,” kata bapa anak dua itu.

Justeru nelayan persisir pantai di sini mengharapkan kerajaan mendengar suara dan memahami keperitan mereka mencari sesuap nasi serta terus melindungi golongan itu dengan memberikan bantuan yang bersesuaian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast