KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menafikan ada mengeluarkan kenyataan beliau sedia untuk keluar dari Johor berhubung pelaksanaan cuti hujung minggu negeri berkenaan yang kembali kepada Sabtu dan Ahad.

“Palsu,” kata Hassan dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Hassan mengeluarkan kenyataan itu berikutan terdapat hantaran di laman media sosial berjudul “Cuti Johor: Saya Sedia Keluar dari Johor Tinggal di Kelantan”

Dalam pada itu, pejabat biro kebajikan Parlimen Pasir Gudang menjelaskan bahawa perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan oleh Hassan.

“Hari ini telah berlegar sebuah gambar di mana kandungannya menggunakan gambar Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang dengan kenyataan “Cuti Johor: Saya Sedia Keluar dari Johor Tinggal di Kelantan”

“Untuk pengetahuan semua, kenyataan ini adalah PALSU dan Hassan Abdul Karim tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti ini.

“Sebarang kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan menerusi laman rasmi Hassan Abdul Karim. Bukan di mana-mana blog atau page yang tidak berkaitan,” kata biro kebajikan Parlimen Pasir Gudang itu.

Minggu lalu, Hassan berkata, beliau tidak bersetuju cuti hujung minggu Johor ditukar kepada Sabtu dan Ahad.

Katanya, ini kerana cuti hujung minggu Johor mempunyai makna dalam konteks sejarah dan budaya di negeri tersebut.

Menurutnya, Johor tidak akan mundur sekiranya cuti mingguan kekal Jumaat dan Sabtu.

Isnin lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkata, cuti hujung minggu di negeri itu akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara tersebut mendapat perkenan dan restu Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Perubahan itu sebelum ini mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here