empen  MY Gaya Month 2024 dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.

KUALA LUMPUR – Kempen MY Gaya Month 2024 dilancarkan untuk mempromosikan barangan buatan Malaysia melalui produk fesyen, gaya hidup dan pelancongan.

Kempen anjuran Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) itu turut bertujuan melahirkan usahawan baharu sambil memberi peluang kepada graduan fesyen daripada akademi tempatan untuk menceburi industri berkenaan.

Pengerusi MBDA, Bon Zainal Harun berkata, kempen yang sedang berlangsung selama sebulan hingga 5 November ini menampilkan lebih 30 pereka, usahawan gaya hidup dan akademi fesyen tempatan mempamerkan koleksi terbaru mereka bertemakan fabrik berunsur warisan.

“Acara selama sebulan ini menonjolkan kepelbagaian wawasan dan kreativiti pereka fesyen tempatan sambil memberi peluang kepada masyarakat dan pelancong luar untuk menghayati keindahan industri fesyen serta gaya hidup tempatan.

“Ia juga merupakan langkah penting bagi kami untuk mengangkat budaya, seni dan fesyen negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya

Kempen  MY Gaya Month 2024 dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar dalam satu majlis yang diadakan bersama MBDA di sini baru-baru ini.

Kempen MY Gaya Month 2024 akan turut diserikan dengan pertunjukan fesyen pada 26 Oktober ini di Pavilion Damansara Height, Kuala Lumpur.

Kempen turut bekerjasama dengan Pavilion Damansara Height sebagai rakan strategik dan penaja lokasi melibatkan pereka, usahawan, dan akademi yang terlibat termasuk jenama terkenal seperti Batek by Rasta Rashid dan Bon Zainal.

Sementara itu, Penaung MBDA, Datuk Tom Abang Saufi, menambah bahawa Malaysia kaya dengan seni, budaya, fesyen dan kepelbagaian etnik yang dapat mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.

Beliau turut menekankan bahawa kita harus berbangga dengan batik Malaysia yang bukan sahaja boleh digunakan dalam pakaian tetapi juga dalam pelbagai kegunaan harian.

“MBDA turut menggalakkan amalan perniagaan lestari dalam kalangan pemain industri untuk memastikan masa depan industri fesyen yang lebih mampan.

“Mereka melihat ini sebagai satu asas penting bagi perkembangan industri fesyen yang lebih berdaya tahan dan Kempen Beli Barangan Malaysia dilihat sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan ekonomi negara melalui sokongan terhadap industri tempatan, terutamanya dalam sektor kreatif dan pembuatan,” katanya.

Sementara itu, Kempen MY Gaya Month 2024 akan turut diserikan dengan pertunjukan fesyen pada 26 Oktober ini di Pavilion Damansara Height, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here