KUALA LUMPUR – Ketua penyokong tegar skuad Harimau Malaya yang dikenali Ultras Malaya (UM), Lekir Ahmad mengumumkan pengundurannya selaku ketua UM selepas 17 tahun menjadi ‘pemain ke-12’ di belakang pasukan negara.
Menerusi Facebook miliknya, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak sambil menyifatkan segala pahit manis yang berlaku adalah asam garam naik turun sebuah gerakan.
“Sampai sudah masa untuk saya memulangkan semula nama UM, sebuah gerakan anak bangsa yang saya tumpahkan seluruh jiwa raga selama ini hingga menjadi sinonim dengan diri.
“Menoktahkan langkah semasa komplot UM Jun lalu, meleraikan segala yang berkaitan dengan gerakan ini. Dengan 11 sub bersuara secara kolektif di ke depan ini, UM terus menjadi paksi ke-12 Harimau Malaya.
UM bermula dengan seramai lebih kurang 20 penyokong setia di sekitar Lembah Klang berbicara mengenai perkembangan bola sepak negara menerusi laman web sebagai medium pengantara pada akhir 2007.Mengambil nama Harimau Malaya sempena jolokan yang pernah diberikan kepada skuad negara suatu ketika dulu, remaja terbabit kemudian menamakan kumpulan mereka sebagai Ultras Malaya bertujuan mengembalikan kegemilangan sorakan penyokong setaraf zaman kehebatan negara di Stadium Merdeka.
Aksi pertama Ultras Malaya ialah pada 15 Oktober 2008 ketika perlawanan pembuka tirai Pestabola Merdeka di Stadium MBPJ, di antara Malaysia dan Nepal yang menyaksikan skuad Harimau Malaya menang 4-0.
Ketika itu, chant atau sorakan semangat mula kedengaran dilaungkan sekumpulan 20 penyokong Ultras Malaya. – MalaysiaGazette