KUALA LUMPUR – Kerangka Belanjawan 2025 antara topik perbincangan dalam pra mesyuarat Dewan Rakyat bersama ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana, kata Datuk Seri Wee Ka Siong.
Presiden MCA itu berkata, kerangka Belanjawan 2025 menjadi topik utama mesyuarat hari ini yang berkaitan dengan kepentingan rakyat yang bakal dibahaskan di Parlimen.
“Apa yang menjadi tumpuan pastinya kerangka Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen kelak kerana ia melibatkan kepentingan semua rakyat dan juga hala tuju ekonomi negara,” katanya di Facebooknya malam tadi.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara tertutup bermula pukul 4.30 dan berakhir kira-kira 6 petang tadi.
Ia dihadiri Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir adalah Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil; Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan bersidang selama 35 hari bermula esok hingga 12 Disember depan dengan tumpuan pada pembentangan Belanjawan 2025 bertemakan “Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.
Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 itu akan berlangsung pada 4 petang, 18 Oktober dan akan dibahas di peringkat dasar bermula 28 Oktober hingga 5 November sebelum jawapan oleh menteri-menteri selama empat hari.
Persidangan Dewan Rakyat kemudian diteruskan dengan perbahasan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa bermula 13 November hingga 3 Disember ini untuk diluluskan Dewan Rakyat.
Turut dijadualkan sesi penerangan menteri mengenai isu Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH) yang akan diadakan pada hari kedua persidangan Dewan Rakyat pada Selasa ini.
Sementara itu, beberapa Rang Undang-Undang akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama antaranya Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024. – MalaysiaGazette