PUTRAJAYA – Ibu bapa kepada anak-anak yang ‘diselamatkan’ pihak berkuasa dari rumah amal milik GISB Holdings (GISBH) menafikan dakwaan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad bahawa perkahwinan mereka telah diaturkan.
Menurut salah seorang ibu bapa terbabit, Utbah Faroha, 30, berkata, tiada paksaan dalam perkahwinan bersama isterinya sebaliknya ia mendapat persetujuan daripada kedua-dua pasangan itu sebelum diijabkabulkan.
“Perkahwinan yang diatur itu tidak boleh diterima sebab saya sendiri, mereka tunjuk (gambar), kamu kami calonkan dengan ini (isteri), kamu terima? Saya terima.
“Yang pihak isteri saya ini, nama dia naik banyak kali, dia sudah dicalonkan, dia sudah tolak (sebelum ini), sampai saya dia terima, maknanya tiada paksaan, boleh pilih,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, siasatan JAIS mendapati perkahwinan dan perceraian dalam kalangan ahli GISBH diatur pemimpin kumpulan itu.
Mohd Shahzihan berkata, perkahwinan juga tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen sah selain tiada kebenaran pendaftar perkahwinan, cerai dan rujuk bagi anak dara dan teruna.
Utbah juga menafikan dia dan isteri tidak mempunyai dokumen perkahwinan yang sah dan tiada kebenaran pendaftar perkahwinan, cerai dan rujuk bagi anak dara dan teruna.
“Saya dan isteri diijabkabulkan di Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang, kadi Selangor dan dokumen nikah dan kelahiran semua lengkap,” katanya.
Sementara itu, Utbah kesal kerana anaknya yang berusia tujuh tahun masih dalam tahanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan masih gagal dituntutnya.
“Anak saya ditahan bukan di rumah amal tapi di asrama yang mana dia bersekolah di Bukit Beruntung, Shah Alam dan ada asrama yang GISBH sediakan untuk memudahkan persekolahan.
“Bila hubungi (JKM), jawapan hanya satu, masih dalam siasatan. Anak saya berumur tujuh tahun dan masih bersekolah.
“Mereka ada tanya juga anak lapor pada saya didera di asrama, memang tiada, selama dia di asrama memang tak ada,” katanya.
Bagi Mashitah Mat Isa, 31, dia melahirkan kecewa apabila JKM memaklumkan anaknya yang berusia setahun enam bulan dimasukkan ke hospital kerana jangkitan influenza B selepas ditahan dalam Op Global.
“Bila saya sampai, ada tiub pernafasan dan doktor kata anak kena influenza B, ketika itu dia tidur selepas minum susu. Walaupun saya tengah mengandung, JKM minta saya balik lepas sejam ziarah anak saya,” katanya.
Meskipun dia hanya seorang sukarelawan dan membantu menjaga anak-anak di rumah amal GISBH namun anaknya tetap ditahan.
“Saya hanya seorang sukarelawan, bukan ahli GISBH. Saya jaga anak-anak staf di pertubuhan sahaja. Kesemua anak saya yang berusia lapan, enam, empat dan setahun enam bulan memang duduk dengan saya, di rumah jagaan kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, Nor Akma Arifin, 53, melahirkan rasa kesal apabila anaknya seorang orang kelainan upaya (OKU) terlantar turut ditahan pihak berkuasa sampai sekarang.
“Saya disuruh sign borang merah (pengakuan pengabaian kanak-kanak), anak ditahan 14 hari. Saya bukan ahli GISBH, suami saya pun bukan ahli GISBH, sekarang pun dia tengah sakit, suami hanya sukarelawan sahaja.
“Lebih pelik lagi anak OKU saya ditahan di rumah sendiri di Bandar Country Homes,” katanya.
Selain itu, seorang suri rumah, Ummu Hani Ramlan, 36, turut melahirkan perasaan yang sama apabila keempat-empat anaknya turut ditahan pihak berkuasa hanya kerana dia sekeluarga menyewa premis GISBH.
“Masa kena tahan, kami duduk dalam kawasan ibu pejabat GISBH, sewa murah, kami duduk rumah kedai GISBH. Ramai kena tangkap pun mereka yang menyewa di situ. Saya risaukan nasib anak saya yang terlepas ujian kemasukan ke sekolah berasrama penuh dan MRSM.
“Sudah enam hari anak tak sekolah. JKM hanya hantar surat bahawa anak tak pergi sekolah selama dua bulan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette