TEL AVIV – Washington akan menghantar bateri pertahanan udara canggih kepada rejim zionis untuk melindungi negara itu sekiranya berlaku reaksi Iran terhadap serangan balasan Israel ke atas negara itu.
Bateri pertahanan udara itu merangkumi enam komponen utama iaitu loji kuasa, set radar, stesen kawalan penglibatan, stesen pelancar, kumpulan tiang antena dan peluru berpandu pemintas itu sendiri.
Tentera AS mempunyai tujuh bateri THAAD, setiap satunya terdiri daripada enam pelancar yang dipasang trak, 48 pemintas, peralatan radio dan radar dan memerlukan 95 askar untuk beroperasi.
Seorang pegawai pertahanan AS berkata, sekitar 100 tentera AS akan dikerahkan untuk mengendalikan sistem itu.
Mejar Jeneral Pat Ryder, jurucakap Pentagon, dalam satu kenyataan berkata, Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin membenarkan penempatan bateri THAAD atas arahan Presiden Joe Biden.
The Times of Israel melaporkan, Ryder berkata, sistem itu akan membantu memperkuat pertahanan udara Israel berikutan serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel pada April dan Oktober.
“Tindakan ini menggariskan komitmen Amerika Syarikat terhadap pertahanan Israel, dan untuk mempertahankan rakyat Amerika di Israel, daripada sebarang serangan peluru berpandu balistik lanjut oleh Iran,” kata Ryder.
THAAD dianggap sebagai sistem sokongan kepada sistem Patriot dan boleh mempertahankan kawasan yang lebih luas, mampu mencapai sasaran pada julat 150-200 kilometer (93-124 batu).
Tidak jelas dari mana asal bateri THAAD itu, AS mengerahkan salah satu bateri ke Timur Tengah bersama-sama dengan batalion Patriot tambahan untuk meningkatkan perlindungan bagi pasukan AS di rantau itu lewat tahun lalu selepas serangan 7 Oktober 2023, ke atas Israel oleh Hamas.
Ryder juga menyatakan AS menghantar bateri THAAD ke Israel pada 2019 untuk latihan.
Pada 1 Oktober lalu, Iran melancarkan tindak balas terhadap Israel dengan melancarkan 200 peluru berpandu balistik ke negara Yahudi itu yang didakwa telah memusnahkan jet pejuang milik Israel.
Iran telah bersiap sedia untuk membalas dendam terhadap Israel selepas serangan 1 Oktober, yang dikatakan sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di Lubnan bulan lepas yang membunuh kepimpinan tertinggi kumpulan pejuang Hezbollah dan pembunuhan ketua biro politik Hamas Ismail Haniyeh di Tehran.
AS telah berusaha untuk berkoordinasi dengan Israel dan meredakan tindakan balas negara sekutunya.
Laporan hujung minggu menunjukkan bahawa pegawai AS percaya Israel telah mengecilkan senarai kemungkinan sasarannya kepada infrastruktur ketenteraan dan tenaga di Iran.
AS mempunyai pelbagai sistem pertahanan peluru berpandu yang tersusun di seluruh Timur Tengah dan Eropah, termasuk sistem Patriot.
Para pegawai telah membincangkan selama berbulan-bulan jenis sistem pertahanan udara yang akan digunakan ke rantau ini dan di mana untuk meletakkannya.-Agensi