Yilamaran berjaya menamatkan pelajaran dan menerima sijil dalam Majlis Konvokesyen Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) ke-29 di Dewan Tunku Laksamana Abdul Jalil, PIS, Pasir Gudang baru-baru ini.

PASIR GUDANG – Atlet karate pekak negara V Yilamaran, 24, berazam merangkul pingat emas dalam  Kejohanan Karate Pekak Asia-Pasifik yang akan berlangsung Disember ini di Johor.

Menurutnya, segala persediaan sudah dilakukan dan beliau akan menggunakan segala pengalaman yang ada dalam usaha mendapatkan pingat emas dalam kejohanan itu.

“Penyertaan ini menjadi suatu kelebihan kepada saya apabila bertanding mewakili negara yang bakal menjadi tuan rumah kejohanan ini,” katanya.

Yilamaran berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sijil dalam Majlis Konvokesyen Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) ke-29 di Dewan Tunku Laksamana Abdul Jalil, PIS di sini baru-baru ini.

Beliau merupakan antara 1,027 graduan PIS berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah, Diploma dan Sijil dalam majlis tersebut.

Yilamaran pernah merangkul pingat perak di Sukan Deaflimpik Ke-24 pada 2022, Caxias Do Sul, Brazil selain pingat gangsa di Kejohanan Karate Pekak Sedunia (2021), Tehran, Iran.

Beliau juga pernah mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat emas di kejohanan Karate Pekak Jepun pada 2020 di Tokyo, Jepun dan Kejohanan Karate Pekak Iran (2019) di Tehran.

Sementara itu, Yilamaran gembira apabila berjaya mencapai impiannya untuk menamatkan kursus sijil kemahiran reka bentuk grafik di PIS.

Katanya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, tidak menjangka dapat melanjutkan pelajaran selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah selepas tamat persekolahan katanya, beliau hanya bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang bagi meringankan beban keluarga.

Katanya lagi, beliau yang terpaksa menguburkan hasrat untuk melanjutkan pengajian berasa bersyukur dibantu juru latih, Sensei Chok Kong Yu yang mendorong untuk melanjutkan pengajian.

“Dia amat prihatin hingga sanggup mengeluarkan wang untuk membayar yuran, membeli komputer riba dan sebagainya, malah dia juga terus melatih saya hingga membolehkan saya menyertai beberapa kejohanan antara bangsa dan merangkul kejayaan.

“Memang saya mahu melanjutkan pengajian sekiranya ada peluang dan saya berasakan masa depan saya lebih terjamin sekiranya terus aktif dalam bidang sukan.

“Apa pun saya amat seronok mengikuti pengajian di sini dan saya terus ingin membangkitkan semangat golongan berkeperluan khas seperti saya bagi pergi lebih jauh,” katanya.

Yilamaran yang berasal dari Skudai berkata, setiap hari beliau juga meluangkan masa kira-kira dua jam untuk mengulangkaji pelajaran.

Beliau juga menjalani latihan tiga kali dalam tempoh seminggu.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here