Rais menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau, Jasin, Melaka petang tadi.

JASIN – Kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa kampung di daerah ini dikesan berpunca daripada taburan hujan tinggi dan fenomena air laut pasang besar, sejak awal pagi semalam.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ia bukanlah disebabkan kegagalan sistem perparitan atau pembangunan di kawasan itu.

“Saya difahamkan oleh agensi berkaitan keadaan cuaca berkenaan mengakibatkan pergerakan air ke laut tersekat, sekali gus menyebabkan berlaku banjir di kawasan rendah dan pinggiran sungai.

“Setakat ini kita tidak melihat ada punca lain akibat berlakunya banjir kilat termasuk daripada projek pembangunan di lokasi terbabit,” katanya.

Rais (tengah) menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau, Jasin, Melaka petang tadi.

Beliau ditemui selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum dan SMK Dato’ Abdul Rahman Ya’kub (SDARY), Merlimau, di sini, hari ini

Mengulas lanjut, Rais berkata, pihak berkuasa bagaimanapun akan terus melakukan kajian dan pemantauan bagi membolehkan langkah drastik diambil sekali gus mengelakkan kejadian daripada berulang.

Rais Yasin

“Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama Pejabat Daerah Jasin akan memantau keadaan di lokasi banjir dan mengambil beberapa langkah jangka pendek bagi mengelakkan keadaan lebih buruk.

“Apa yang menjadi keutamaan ketika ini adalah semua mangsa perlu dijaga dengan baik termasuk keadaan PPS yang selesa, cukup makan minum sebelum mereka kembali pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Sehingga jam 4.30 petang tadi, seramai 238 mangsa membabitkan 79 keluarga dari Kampung Kilang Berapi, Merlimau dan Solok Lubok Buaya, Serkam.

Kesemua mereka ditempatkan di empat PPS sejak pagi tadi iaitu di SMK Dang Anum, SMK SDARY, Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat dan SK Tedong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast