Hannah Yeoh. Foto SADIQ SANI, 13 OKTOBER 2024.

KAJANG – Cadangan untuk memperkenalkan pelantikan Ahli Majlis bagi Kuala Lumpur merupakan satu perkara yang baik dalam usaha menyelesaikan isu berpanjangan yang berlaku di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pandangan itu dilontarkan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Hannah Yeoh.

Menurutnya, ia bukanlah satu perkara baru kerana ia turut dilaksanakan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) lain cuma ia masih asing di Wilayah Persekutuan.

Hannah percaya ahli-ahli Parlimen telah membawa isu tersebut kepada Menteri Wilayah Persekutan untuk perbincangan dan kajian mengenainya perlu dilakukan.

“Sekarang ini bajet semua ditentukan oleh DBKL. Saya bagi contoh di kawasan saya Segambut, kawasan saya besar tapi selalu bajet untuk pengurusan pokok itu tak cukup dan setiap kali hujan, pokok tumbang waiting list (senarai menunggu) kita panjang sekali.

“….daripada selalu kita mohon, tunggu, baik ada pembuat dasar bersama DBKL yang boleh wakili suara-suara ahli-ahli Parlimen semua.

“Ini bukan suara Hannah Yeoh tapi suara Segambut. Ini memang satu isu berpanjangan, isu maintenance (penyelenggaraan), isu pengurusan DBKL bersama ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Ramah Mesra YB Menteri Belia dan Sukan Bersama Peserta Program Rakan Muda: Skils For Life@AKBG di Kelab Golf dan Rekreasi Penjara Kajang di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, cadangan DAP Negeri Wilayah Persekutuan untuk memperkenalkan reformasi dengan melaksanakan sistem pelantikan Ahli Majlis untuk Kuala Lumpur bagi memastikan tadbir urus yang baik merupakan pendekatan yang bijak dan progresif.

Katanya, cadangan tersebut merupakan langkah pertama yang bijak dan akhirmya matlamat utama adalah ke arah pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Beliau berkata, ketika ini DBKL hanya mempunyai Lembaga Penasihat dan bukan Ahli Majlis dilantik seperti yang berlaku dalam PBT lain.

Ujarnya, cadangan tersebut akan dirujuk kepada majlis kepimpinan Pakatan Harapan untuk pertimbangan lanjut sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi dalam kerajaan.

Mengulas lanjut, Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, setiap kali mesyuarat di adakan semua ahli Parlimen bersama Kementerian Wilayah akan membangkitkan isu-isu yang berkaitan pengurusan serta bajet DBKL

“Oleh sebab itu, wakil-wakil ahli Parlimen selalu mereka minta adalah kita nak tengok modul lain, negeri lain seperti konsep ahli majlis sekarang yang memang semua negeri gunakan sama ada sesuai atau tidak untuk kita gunapakai.

Pelantikan Ahli Majlis adalah antara resolusi utama yang diluluskan oleh DAP Negeri Wilayah Persekutuan semalam dengan pengerusinya Tan Kok Wai berkata, ia merupakan langkah pertama ke arah reformasi yang lebih meluas yang akhirnya akan membawa kepada mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

DAP Wilayah Persekutuan cadang sistem pelantikan ahli majlis untuk KL

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here