Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berbahas pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar masih lagi menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran maklumat membabitkan Nota Diplomatik dari Republik Rakyat China (PRC) kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, siasatan menjurus kepada keaslian dokumen itu kerana ia tidak mempunyai tera air (watermark) sekiranya diterima oleh pihak kementerian seperti kelazimannya.

“Kita masih lagi menjalankan siasatan dalaman kerana dokumen seperti ini tidak seharusnya menjadi dokumen awam. Tetapi selalunya dokumen kita ada watermark (tera air) bila kita dapat.

“Tetapi yang dikeluarkan itu tiada watermark. Jadi kita tidak tahu di mana, kalau di peringkat kita mesti ada watermark. Jadi itu kita akan jalankan siasatan sama ada ia dikeluarkan pihak-pihak yang lain, selain daripada pihak kedutaan atau kementerian Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Tumpat, Muntaz Md Nawi mengenai status berhubung kebocoran Nota Diplomatik di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Awal September lalu, Kementerian Luar Negeri mengesahkan sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran maklumat membabitkan Nota Diplomatik dari PRC kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada 18 Februari lalu.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, pihak kementerian memandang serius isu kebocoran dokumen tersebut yang merupakan saluran perhubungan rasmi antara dua buah negara kepada pihak umum.

Terdahulu, satu artikel berkait dengan dokumen tersebut telah diterbitkan oleh sebuah portal media Filipina pada 29 Ogos lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here