Dua Penolong Pegawai Kewangan JKM Raub mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas kesalahan pecah amanah

KUANTAN – Dua Penolong Pegawai Kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Raub mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana melakukan pecah amanah sebanyak RM78,000 pada Jun 2020.

Tertuduh, Tengku Asraf Shah Tengku Yahya dan Zuraini Abdul Rahim@Abdul Rahman, masing-masing berumur 41 tahun membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Sazlina Safie.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama mengemukakan penyata agihan bantuan am bagi tempoh Jun 2020 sehingga Februari 2021 kepada Ketua Cawangan JKM Raub dengan menyatakan bantuan terbabit telah diagihkan kepada 20 penerima bantuan am sedangkan kesemua penerima tidak menerima bantuan tersebut.

Berikutan itu, mereka dikenakan denda RM10,000 setiap seorang dengan penjara tujuh hari dan boleh dikenakan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Sebelum ini, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here