Forest City di Iskandar Puteri menjadi lokasi pertama di Malaysia dengan menawarkan kadar cukai sifar peratus untuk SFO.

ISKANDAR PUTERI – Penubuhan pejabat keluarga tunggal (SFO) atau firma pengurusan kekayaan di Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) menawarkan kadar kemasukan yang lebih rendah berbanding Singapura dan negara jiran.

Ketua Deloitte Private Malaysia, Chee Pei Pei berkata, Forest City menjadi lokasi pertama di Malaysia dengan menawarkan kadar cukai sifar peratus untuk SFO.

Beliau berkata, langkah tersebut menzahirkan langkah berani kerajaan dalam merealisasikan aspirasi kerangka Ekonomi Madani.

Perkembangan itu, katanya, akan menjadikan Forest City hab untuk perkhidmatan perniagaan kewangan global, teknologi kewangan dan pengendali sistem pembayaran asing yang menyediakan kadar cukai khas sebanyak lima peratus.

“Kadar cukai pendapatan yang dikurangkan sebanyak 15 peratus untuk golongan profesional mahir yang diyakini mampu menarik bakat selain mengekalkan bakat sedia ada.

“Ditambah dengan pelaksanaan kawasan bebas cukai di FCSFZ, ini akan menjadi kelebihan unik buat Forest City sebagai katalis kepada pembangunan ekonomi selatan semenanjung Malaysia,” katanya berucap dalam FCSFZ: Single Family Office Tax Incentive Scheme Seminar di Forest City di sini.

Pei Pei berkata, pengumuman itu bukan sahaja mesra pelabur tetapi juga mampu menarik rakyat Malaysia berkemahiran tinggi pulang ke tanah air.

Semua itu ditambah dengan akses pendidikan dan penjagaan kesihatan berkualiti yang telah tersedia sesuai untuk mereka yang mahu kehidupan berkualiti, katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Jenama, Jualan dan Pemasaran Country Garden Malaysia-Singapura, Fang Fang berkata, infrastruktur di Forest City sedia memenuhi keperluan pelaburan dan juga perniagaan yang selari dengan pengumuman FCSFZ.

Menurutnya, terdapat tiga cabang perniagaan utama di Forest City iaitu daerah perniagaan teras melibatkan pusat kewangan Fasa 1 dan hab pengangkutan.

Ujarnya, ia termasuk daerah perniagaan bebas cukai melibatkan perniagaan di laluan komersial dan daerah perniagaan berasaskan komuniti melibatkan perniagaan di kawasan perumahan.

“Daripada tiga cabang perniagaan itu, Pusat Kewangan Forest City Fasa 1 adalah pilihan utama bagi Pejabat Keluarga. Bangunannya adalah sebuah kompleks perniagaan antarabangsa dengan tingkat pertama hingga kelima merupakan ruang komersial.

“Terdapat 800 ruang pejabat berukuran antara 43 hingga 289 meter persegi dari tingkat 6 hingga 30 dan tingkat 43 hingga 45 manakala tingkat 31 hingga 42 menempatkan 300 unit kediaman pangsapuri berukuran antara 35 hingga 119 meter persegi,” katanya.

Tambah beliau, Forest City juga telah melancarkan jualan unit komersialnya Ogos lalu dengan 80 peratus daripadanya terjual dalam masa hanya satu jam.

“Jualan seterusnya akan dibuat pada Sabtu ini melibatkan unit yang terletak di Starview Bay. Ukurannya antara 28 hingga 482 meter persegi bagi memenuhi keperluan perniagaan yang pelbagai.

“Dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang tersedia serta insentif menggalakkan seperti pulau bebas cukai dan juga FCSFZ, Forest City bakal memberi pengalaman terbaik terutama dalam sektor kewangan negara,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here