Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serang, Abbas Azmi pada sidang media selepas memberi keterangan kepada polis di Ibupejabat Polis Daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini yang enggan menerima memorandum semasa Himpunan Mega Setahun Al-Aqsa pada 11 Oktober lalu telah mengundang kemarahan ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Azmi mendakwa, perbuatan itu sangat biadap kerana demonstrasi  hanya dilakukan secara aman tanpa sebarang unsur kekerasan.

“Kami hanya mahu menghantar memorandum lima, enam helai sahaja yang mengandungi suara rakyat Malaysia tentang kekejaman yang berlaku kepada keluarga kita di Palestin tetapi kenapa mereka (Kedutaan AS) tidak mahu membenarkan kami masuk?

“Saya sendiri melihat salah seorang pegawai Kedutaan AS pada hari kejadian. Dia melihat kami berada dalam kawasan mereka tetapi dia tidak berani keluar sedangkan saya telah mengajaknya keluar secara baik,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam sidang media selepas keterangannya diambil berkenaan isu itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju hari ini.

Abbas juga mempersoalkan kenapa perkara itu terjadi sedangkan Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Malaysia (MAPIM), Azmi Abdul Hamid sudah memaklumkan kepada polis 10 hari lebih awal dan notis kepada kedutaan itu seminggu sebelum penyerahan memorandum.

“Kenapa sebelum ini boleh sahaja tetapi sekarang, tidak boleh? Saya rasa sudah tiba masanya semua pihak berkepentingan mengambil tindakan ke atas sikap biadap duta AS ini.

“Kami memerlukan penjelasan yang jelas. Jika ini berterusan, Kedutaan AS akan menerima lebih ramai lagi kehadiran rakyat Malaysia di situ,” tambahnya.

Abbas memberitahu pihaknya akan sentiasa memberikan kerjasama kepada ppolis sekiranya sebarang maklumat dan keterangannya perlu diambil.

Beliau merupakan antara dua yang dipanggil memberi keterangan kepada polis selain Presiden Pejuang, Datuk Seri Muhkriz Mahathir yang telah selesai diambil keterangannya pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here