Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa reputasi serta namanya sengaja diburukkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terutamanya dalam kalangan orang Melayu.

Malah menurutnya, Ahmad Zahid disaman olehnya kerana Timbalan Perdana Menteri itu didakwa telah mempergunakan nama Iskandar Kutty untuk menunjukkannya bukan Melayu sebaliknya memperdayakan orang Melayu demi politik dan kuasa.

“Mana-mana orang India akan akan faham bahawa nama itu (Kutty) itu berkaitan dengan saya. Ini juga perbuatan Ahmad Zahid bagi semua orang terutamanya orang Melayu untuk percaya bahawa saya bukan Melayu kononnya saya telah menipu.

“Ini satu penipuan yang disengajakan. Nama saya Mahathir Mohamad, Iskandar Kutty itu rekaan.

“Saya memang orang Melayu, saya nafi menggunakan orang Melayu ketika menjadi Perdana Menteri. Nama saya sejak dulu ialah Mahathir bin Mohamad,” katanya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong di sini hari ini.

IMBAS SEMULA. Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir sebagai defendan dalam kes saman ‘Kutty’ oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 OGOS 2024.

Kata Dr Mahathir lagi, beliau terpaksa memfailkan saman kerana Timbalan Perdana Menteri itu telah menghinanya secara peribadi dengan menyentuh keturunan, asal usulnya melalui isu ‘Kutty’.

“Masyarakat Melayu tidak meletakkan ‘anak lelaki’ sebaliknya menggunakan perkataan ‘bin’ pada nama. Sesiapa pun tahu dan faham ketika gunakan anak lelaki Iskandar Kutty itu. Ini pembohongan oleh Ahmad Zahid,” tegasnya.

Dalam pada itu, ketika peguam Ahmad Zahid, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman berterusan menyoal Dr Mahathir mengapa beliau bertindak menyaman anak guamnya selepas kenyataan fitnah dibuat selepas lima tahun.

Namun Dr Mahathir berkata, beliau mengambil masa dan tidak tergesa-gesa dalam mengemukakan saman tersebut.

Pada masa ketika diasak dan peguam itu turut membangkitkan tentang saman anak guamnya terhadap Dr Mahathir, bekas Presiden UMNO itu mengaku beliau juga menyaman selepas dirinya disaman Ahmad Zahid.

Untuk makluman, Ahmad Zahid menyaman terlebih dahulu pada April 2022 selepas dakwaan beliau cuba menggugurkan kes rasuah ketika era Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Selepas beberapa bulan, Dr Mahathir pula menyaman Ahmad Zahid dalam isu kenyataan ‘Kutty’.

Prosiding akan bersambung pada Rabu ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Beliau percaya individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Dr Mahathir mendakwa, Ahmad Zahid berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci oleh masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoal dan diragui.

Katanya, ia juga difahamkan beliau pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika semasa memegang jawatan awam serta tidak layak untuk menjadi pemimpin atau tokoh masyarakat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here