Logo UNIFIL

BERLIN- Kerajaan Jerman pada Isnin mengkritik tindakan menembak ke arah pasukan pengaman PBB di selatan Lubnan dan menyeru Israel memberikan penjelasan bagaimana insiden itu berlaku, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Semua pihak yang terlibat dalam konflik, termasuk tentera Israel, wajib mengarahkan aktiviti ketenteraan mereka hanya kepada sasaran ketenteraan pihak lain dalam konflik,” kata jurucakap Pejabat Luar Negeri di Berlin.

Jerman sedang menunggu penjelasan penuh dengan segera dan telah berhubung dengan pihak Israel mengenai isu itu, katanya.

Jurucakap itu juga menyatakan bahawa situasi di selatan Lubnan sedang dipantau dengan kebimbangan yang semakin meningkat. Setakat ini, lima anggota pasukan pengaman UNIFIL cedera dan kerosakan yang besar telah berlaku pada kedudukan UNIFIL.

“Tindakan menembak ke arah pasukan pengaman PBB dan memaksa masuk ke pangkalan mereka adalah sama sekali tidak boleh diterima,” katanya. Keutamaan tertinggi seharusnya diberikan kepada perlindungan dan keselamatan pasukan PBB, tambahnya.

UNIFIL memantau kawasan sempadan antara Israel dan Lubnan sejak 1978. Lebih 10,000 anggota tentera dari lebih 50 negara, termasuk Jerman, telah dikerahkan dalam misi tersebut.

— BERNAMA-dpa

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast