Syed Rosli Jamalullail

KUALA LUMPUR – Penghapusan hutang cukai Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) oleh kerajaan Madani mendapat perhatian kerana alasan yang diberikan berkaitan dengan statusnya sebagai sebuah yayasan.

Yayasan secara umumnya adalah organisasi yang ditubuhkan untuk tujuan amal atau pendidikan dan biasanya diberi pengecualian cukai berdasarkan peranannya dalam menyediakan perkhidmatan yang memanfaatkan masyarakat.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail berkata, Kerajaan Madani mungkin menghapuskan hutang cukai UTAR kerana menganggap UTAR berperanan besar menyediakan pendidikan tinggi pada kos yang lebih rendah kepada rakyat Malaysia terutama bagi golongan berpendapatan sederhana.

“Tindakan itu mungkin juga dilihat sebagai sokongan kepada sektor pendidikan yang dianggap sebagai salah satu tonggak utama dalam pembangunan negara.

“Bagaimanapun, kritikan terhadap keputusan ini berkisar kepada persoalan keadilan.

“Jika UTAR dikecualikan daripada membayar cukai kerana status yayasan, saya berpendapat kolej dan universiti lain di bawah yayasan juga sepatutnya menerima manfaat yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Syed Rosli, ia menimbulkan isu ketelusan dalam dasar pengecualian cukai kerana dasar yang tidak konsisten boleh dilihat sebagai berat sebelah atau tidak adil kepada institusi pendidikan lain yang beroperasi di bawah yayasan.

“Isu itu mungkin memerlukan penjelasan lebih lanjut daripada kerajaan mengenai kriteria yang digunakan untuk memberikan pengecualian cukai dan sama ada dasar ini boleh diperluas kepada semua institusi pendidikan di bawah yayasan agar adil dan saksama,” jelasnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan menghapuskan tunggakan cukai dan denda berjumlah RM83 juta kepada UTAR dibuat kerana dasar kerajaan tidak mengenakan cukai bagi entiti berasaskan pendidikan bukan keuntungan.

Anwar berkata, kelewatan kelulusan pengecualian cukai itu dibuat kepada UTAR kerana universiti itu masih berada di bawah Yayasan Tunku Abdul Rahman (TAR) yang belum dipisahkan strukturnya antara urusan syarikat perniagaan komersial dan pendidikan.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya meminta Yayasan TAR memisahkan struktur operasinya antara urusan syarikat perniagaan komersial dan pendidikan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here