Gambar : JKNP

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melancarkan Program Desa-Q Sihat di Kampung Ketapang Tengah, Pekan hari ini dalam usaha memperkukuh pengetahuan pengurusan ubat-ubatan melalui pelbagai aktiviti yang dirancang dalam komuniti setempat.

Dalam kenyataannya, JKNP berkata, program itu selaras dengan pelaksanaan Dasar Ubat Nasional (DUNAS) yang diperkenal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut JKNP, Desa-Q Sihat merupakan program kampung angkat yang dilaksanakan secara bersasar dan berterusan.

Manakala pemilihan Kampung Ketapang Tengah, Pekan pula adalah berdasarkan demografi penduduk iaitu seramai 3,965 orang dengan majoritinya adalah daripada golongan usia pertengahan yang merupakan kumpulan sasaran pelaksanaannya.

“Pendidikan kesihatan berkaitan penggunaan ubat-ubatan kepada golongan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada semua penduduk di Kampung Ketapang Tengah ini,” katanya.

Terdapat pelbagai aktiviti informasi dan permainan interaktif dijalankan bagi menarik minat golongan remaja dan kanak- kanak seperti Lawatan ke rumah pesakit melalui Program Home Medication Review (HMR) dan Pendidikan berkaitan penjagaan diabetes secara berkumpulan (tuisyen diabetes) melalui Pelaksanaan Pharmacy Integrated Community Care (PICC).

Selain itu, katanya, Surau Haji Montok juga telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan Sudut MoKCU (Moh Kita Celik Ubat) bagi memberi informasi penjagaan kesihatan bagi penduduk kampung tersebut.

JKNP berharap agar Program Desa-Q Sihat dapat memberi impak positif kepada penduduk dalam aspek penggunaan ubat-ubatan yang selamat, berkualiti dan berkesan demi meningkatkan mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here