KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengesahkan kawasan di Jalan Masjid India selamat untuk semua bentuk aktiviti.
Ia berdasarkan kajian dijalankan Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dengan mengambil kira pandangan kepakaran secara kolektif pelbagai agensi serta pertubuhan profesional seperti Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan Pertubuhan Geoteknikal Malaysia (MGS).
“Pemetaan dan ujian integriti bawah tanah telah dijalankan bagi mengesan sebarang kelemahan pada aset-aset lama.
“Kedua, penggunaan teknologi seperti kaedah ground penetrating radar (GPR) dan Mackintosh Probe (MP) untuk menyiasat struktur tanah.
“Ujian geofizik seperti graviti mikro dan ground settlement monitoring (pemantauan pergerakan tanah menegak) turut digunakan untuk mengesan sebarang pergerakan tanah atau lohong bawah tanah,” katanya menjawab pertanyaan bagi sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Zaliha menjawab soalan lisan P Prabakaran (PH-Batu), Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh), RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berhubung insiden lubang benam di Jalan Masjid India, bulan lalu.
Menjawab lanjut, Zaliha berkata, beberapa tindakan segera jangka pendek juga telah dilaksanakan iaitu audit integriti aset utiliti oleh syarikat-syarikat utiliti di kawasan Central Business District (CBD) termasuklah Jalan Masjid India.
Bagi tindakan jangka panjang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan penyiasatan tanah mendalam melibatkan penggunaan teknik ‘deep boring’ serta ujian makmal untuk memastikan struktur tanah stabil.
Katanya, laporan geoteknikal oleh jurutera bertauliah juga akan disediakan untuk kawasan yang dikenalpasti berisiko.
“Mengenai komunikasi awam, DBKL akan terus menggunakan platform media sosial untuk memberi makluman dan keyakinan kepada masyarakat mengenai tahap keselamatan di kawasan Jalan Masjid India,” jawab Zaliha lagi.
Menyentuh mengenai pampasan kepada ahli keluarga mendiang G Vijaya Lakshmi, Dr Zaliha berkata, kerajaan melalui DBKL telah menyumbangkan sebanyak RM30,000 bagi membantu waris mangsa meringankan beban akibat tragedi itu.
“Keluarga mangsa juga menerima sumbangan daripada pihak swasta yang bersimpati sebanyak RM10,000.
“Ini merupakan tanggungjawab sosial untuk membantu keluarga mangsa yang trauma atas kehilangan yang tersayang,” katanya.
Pada masa sama, Zaliha berkata, kerajaan tidak menghalang sekiranya keluarga mendiang mahu mengemukakan tuntutan pampasan melalui saluran perundangan terhadap agensi berkaitan. – MalaysiaGazette