Abshar.

GEORGE TOWN – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf menyifatkan kenyataan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) kontrakdisi berhubung isu lawatan dua kapal latihan dari China yang melabuh di negeri ini baru-baru ini.

Abshar berkata, ia susulan Presiden Parti Gerakan Rakyat, Datuk Dominic Lau Hoe Chai yang merupakan sebahagian daripada gabungan PN turut hadir pada majlis sambutan di atas salah sebuah kapal latihan tersebut.

“Kunjungan yang diuruskan Pejabat Consulate General China di Pulau Pinang itu mengikut saluran rasmi malah, Resident Naval Officer TLDM di negeri ini turut hadir dalam kunjungan atas kapal pelatih tersebut bersama pemimpin dari kerajaan negeri.

“Kapal-kapal tentera laut negara asing lain juga pernah berlabuh di pelabuhan dalam negara atas saluran rasmi dan mengikut protokol malah, Kapal Latihan JinggangShan 999 yang pernah berlabuh di negeri ini memainkan peranan penting dalam misi pencarian pesawat MH370 pada 2014,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas berhubung dakwaan pelajar tempatan diarah pegang bendera China, Abshar berkata,  pihak sekolah memaklumkan mereka mempunyai lebih 30 pelajar dari China dan pelajar asing itu yang mengibarkan bendera negara mereka semasa sambutan.

“Gambar yang tular di media sosial hanya menunjukan pelajar berasal dari negara China mengibarkan bendera China dan sebenarnya terdapat gambar-gambar lain pelajar tempatan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Pulau Pinang.

“Sehubungan itu, kita harap lawatan kapal latihan China itu dilihat secara positif dan tidak dipolitikkan ia susulan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China telah lama terjalin kukuh,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan kedatangan kira-kira 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri itu menaiki dua kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang untuk kunjungan silaturahim.

Pasukan tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dan pelatihnya dibawa melawat beberapa tempat menarik di Pulau Pinang dan turut berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika sesi lawatan berkenaan.

Bagaimanapun, lawatan itu mencetuskan kontroversi apabila kunjungan sebahagian daripada anggota tentera laut China berkenaan ke satu majlis di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) tular di beberapa platform sosial media. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here