KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini diberitahu kerajaan dalam proses untuk menggubal rang undang-undang (RUU) jenayah dalam talian sebagai sebahagian usaha membanteras sindiket penipuan dalam talian atau scammer di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggubalan RUU itu dibuat selepas mengambilkira masa depan negara menuju ke arah digital.
“Pada sesi ini kita akan wujudkan RUU Jenayah Dalam Talian selepas pembentangan Belanjawan 2025 supaya perkara-perkara dapat kita bahas dan luluskan,” katanya di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka).
Azalina bagaimanapun tidak memperincikan bila RUU berkenaan akan dibentang.
Pada sesi Dewan Rakyat yang sedang berlangsung, Azalina berkata, RUU berkenaan akan jenayah scammer bukan sahaja merangkumi jenayah telekomunikasi malah turut meliputi jenayah e-kewangan, love scam dan e-dagang serta pinjaman tidak wujud.
“Kita pun kena berhati-hati terutamanya dalam isu love scam, kadang-kadang kita bercinta ingatkan orang itu wujud tapi sebenarnya dia adalah AI (kecerdasan buatan).
“Jangan terlalu percaya sangat dalam sistem sedemikian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette