Logo bernas
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Jabatan Kimia Malaysia (Kimia Malaysia), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), memeterai Nota Kerjasama dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas), pemain utama industri beras negara, hari ini.

Nota Kerjasama berkenaan menandakan usaha sama bagi melaksanakan ujian perbandingan antara makmal (ILC) dan ujian kemahiran bagi memastikan penggredan beras lebih efisien dan berkualiti.

Dalam kerjasama ini, Bernas akan membantu Kimia Malaysia membangunkan kaedah pengujian, memberikan latihan dalam analisis sampel beras serta membincangkan isu-isu berkaitan penganalisaan beras untuk tujuan ujian perbandingan antara makmal, di samping memperkukuh ujian kecekapan dalam analisis beras.

Makmal Bernas, yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui piawaian ISO 7301 dan ISO 11746, akan memainkan peranan penting dalam memastikan konsistensi dan kebolehpercayaan penggredan beras mengikut piawaian antarabangsa, seterusnya meningkatkan kualiti beras di Malaysia.

Nota kerjasama ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bernas, Zulkiflee Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Kimia Malaysia, Marhayani Md Saad, serta disaksikan oleh Ketua Setiausaha MOSTI, Dato’ Ts. Dr. Aminuddin Hassim.

“Kami yakin inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan ke atas industri padi dan beras negara, sekali gus memberikan kesan yang positif kepada kualiti, keselamatan makanan dan kebolehpercayaan rantaian bekalan padi dan beras dalam jangka masa panjang”, kata Aminuddin.

Beliau berkata, inisiatif ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam sains, teknologi, dan inovasi (STI), di samping menyokong usaha memastikan keterjaminan makanan negara.

Bernas juga komited dalam berkongsi kepakaran serta bekerjasama erat dengan agensi kerajaan dan pihak industri dalam usaha memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here