Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Timbalan Pesuruhjaya Lim Bee Kean.

KUALA LUMPUR – Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2024 peringkat negeri Sabah yang berlangsung hari ini menjadi bukti komitmen negeri itu dalam memperkukuhkan agenda integriti dan memerangi rasuah.

Bertemakan `Integriti Lestari Asas Kejayaan Madani’, propgram yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu itu dihadiri lebih 2,000 peserta.

Mereka terdiri daripada pengurusan tertinggi, Ketua Pegawai Integriti dan Governans (CIGO), serta Pegawai Integriti dari Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) Persekutuan dan Negeri Sabah.

Menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Timbalan Pesuruhjaya Lim Bee Kean, konvensyen kali kedua itu akan dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Ujar beliau, konvensyen itu bertujuan meningkatkan kemahiran dan keunggulan sahsiah serta mewujudkan sinergi antara organisasi bagi memaksimumkan sumber dan idea dalam usaha pemantapan integriti dan tadbir urus.

Jelasnya, ia juga dijangka menjadi acara tahunan kebanggaan Sabah dalam memperkasakan integriti khususnya dalam kalangan penjawat awam dan swasta.

“Dengan inisiatif seperti KITA 2024, diharapkan objektif pengukuhan integriti dan pembudayaan nilai antirasuah dapat dicapai selain menjadi platform untuk percambahan idea dan pembelajaran bagi Ketua-Ketua Unit Integriti dan Governans,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Bee Kean berkata, KITA 2024 merupakan salah satu inisiatif untuk melaksanakan misi dan visi kerajaan dalam memerangi rasuah, meningkatkan integriti, dan memperkasa tadbir urus pentadbiran.

Ujarnya, ia merupakan kesinambungan kepada beberapa inisiatif yang telah digerakkan kerajaan dan SPRM sebelum ini seperti Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Selain itu, tambah beliau, mesyuarat Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) juga telah menubuhkan Focus Group yang dianggotai oleh agensi awam, swasta, dewan perniagaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan tindakan-tindakan berhubung usaha-usaha penambahbaikan CPI mengikut bidang keutamaan masing-masing.

“Kesemua inisiatif ini, termasuk penganjuran KITA 2024, diharapkan dapat mencapai objektif dan menjadi platform percambahan pemikiran serta pembelajaran kepada pemegang taruh.

“Ia sekali gus dapat memastikan usaha pencegahan rasuah, pengukuhan tadbir urus, dan pembudayaan integriti dilaksanakan secara berkesan, membawa impak positif kepada organisasi dan seterusnya kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast