Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengesahkan telah memberi kelulusan diplomatik untuk dua kapal tentera laut China masuk ke perairan negara dan berlabuh di Pulau Pinang baru-baru ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kelulusan itu turut melibatkan permohan untuk membuat lawatan ke sekolah yang berunsur latar belakang pengajaran Konfusian dan lain-lain.

Menurut beliau, kehadiran kunjungan kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang itu turut mendapat persetujuan Kementerian Pertahanan sempena Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia China.

“Tidak dikatalah sambutan luar biasa tapi sambutan yang meriah yang dilakukan Kerajaan Pulau Pinang selaras dengan Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia China.

“Jadi ini telah mendapat persetujuan pihak Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar hanya beri kelulusan diplomatik untuk kapal itu datang masuk dan berlabuh, yang lain itu urusan Kerajaan Negeri (Pulau Pinang).

“Tetapi permohonan diplomatik dari Kedutaan China jelas memohon perkara tersebut untuk membuat lawatan ke sekolah yang berunsur latar belakang pengajaran Konfusian dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Muntaz Md Nawi (PN- Tumpat) mengenai kehadiran dua kapal laut China yang menjadi kontroversi di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, sehingga kini, tiada perlanggaran peraturan dilakukan oleh delegasi tersebut dan mematuhi kelulusan permohonan yang ditetapkan.

“Jadi ini diuruskan lain-lain pihak keselamatan dan lain itu kita harap kalau ada apa-apa perlanggaran yang diminta mereka akan disiasat.

“Tetapi setakat ini memang jelas apa yang mohon semasa permohonan diplomatik tersebut semuanya tidak melanggar apa-apa perlanggaran dan peraturan negara kita,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, sambutan meriah terhadap dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang itu disifatkan ‘tidak masuk akal’.

Saifuddin dilaporkan berkata, ia adalah kerana terdapat dakwaan perairan Malaysia iaitu di Sabah dan Sarawak dicerobohi aset republik berkenaan.

Sementara itu, menjawab soalan asal berkaitan konflik di Laut Cina Selatan daripada Datuk Andy Muhammad Suryandy Bandi (BN-Kalabakan), Mohamad menjelaskan, ketegangan berlaku  di luar kawasan maritim Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia pada tahun 1979.

“Di dalam konteks pengendalian isu Laut China Selatan, saya ingin menegaskan kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama dalam setiap tindakan yang diambil.

“Isu berkaitan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif. Setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif tanpa mengenepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast