Muhammad Miqdam didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services And Business (GISB) Holding didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Miqdam Muhammad Amir, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan tertuduh sebagai seorang warden asrama yang mempunyai hubungan amanah terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun ketika itu telah melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh bahagian kemaluan mangsa.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah, Jalan Bagan Buaya, Nibong Tebal dekat sini pukul 12 tengah malam pada 11 Julai 2022.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan- kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak tidak menawarkan jaminan atas faktor kesalahan serius iaitu seksual dan mangsa juga merupakan seorang kanak-kanak.

Dalam mitigasi rayuan, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Naqieya Zulkernain memohon mahkamah memberikan jaminan minima atas alasan lelaki itu bekerja sebagai penghantar barang, tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menyara ibu bapanya.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta melapor diri ke balai polis sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa.

Kes akan disebut semula bagi pengurusan kes pada 14 November depan.

Media pada 21 September lalu melaporkan empat premis termasuk dua rumah jagaan yang dipercayai berkaitan GISB Holdings Sdn. Bhd. (Global Ikhwan Sdn. Bhd.) di sekitar Seberang Perai diserbu pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohammad Abdul Hamid berkata, serbuan dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, keempat-empat premis yang diserbu adalah Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah di Nibong Tebal, Rumah Permata Kasih Taman Seri Mengkuang (Pusat Jagaan Kanak-Kanak) Kubang Semang, Kedai Kek Dan Roti Ikhwan dan Ikhwan BP Mart di Bandar Perda. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here