Datuk Seri Yahaya Othman

KUANTAN – Seorang wanita berputih mata apabila mengalami kerugian RM244,000 akibat terperdaya tawaran keuntungan lumayan sebanyak lima hingga 300 peratus daripada modal yang dilaburkan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 35 tahun merupakan seorang peniaga telah terjerat dengan skim penipuan secara atas talian.

”Pada 11 Julai lalu, mangsa telah berminat untuk menyertai satu skim pelaburan yang bernama Efinity Capital melalui aplikasi Facebook.

”Mangsa telah memuat turun aplikasi pelaburan bernama ECMT Pro melalui pautan yang diberi oleh suspek. Sumber kewangan adalah wang simpanan mangsa.”  katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Yahaya, mangsa telah memindahkan sejumlah RM244,000 dengan melakukan 11 kali transaksi ke dalam tiga akaun bank berbeza dalam tempoh 21 Ogos hingga 3 Oktober 2024.

Tambahnya, mangsa mula menyedari ditipu setelah tidak menerima sebarang keuntungan daripada suspek.

Susulan itu, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud.

“Orang ramai dinasihatkan jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here