Gambar : Hasan Omar - Lanchang Sejahtera

KUANTAN – Jumlah penduduk terjejas akibat banjir di Temerloh meningkat kepada 1,247 orang setakat jam 8 malam, berbanding 958 orang petang tadi.

Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kini seramai 360 buah keluarga yang terjejas ditempatkan di lima buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di daerah tersebut.

Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan merupakan PPS yang menempatkan jumlah penduduk terjejas paling ramai dan dilaporkan meningkat daripada 462 orang daripada 131 keluarga petang tadi kepada 595 orang daripada 163 keluarga malam ini.

Mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Bakti juga merekodkan peningkatan kepada 566 orang daripada 163 keluarga malam ini berbanding 410 orang daripada 118 keluarga petang tadi.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di PPS SK Lanchang pula kekal menempatkan 36 individu daripada 12 keluarga, sama seperti di PPS Balairaya Mempateh dengan 30 orang daripada 6 keluarga.

Situasi sama dilaporkan di PPS Masjid Kampung Bongsu yang kekal menempatkan 20 orang mangsa banjir daripada lima keluarga.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan terdapat lima buah sungai menunjukkan trend menaik iaitu di Sungai Yap, Jerantut; Sungai Triang, Bera; Sungai Chenor, Maran; Sungai Pekan, Pekan dan Sungai Pukin di Rompin. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here