Dua lelaki warga Indonesia yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat

KUALA LUMPUR  – Dua lelaki warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat selepas didapati menarik pukat kira-kira tiga batu nautika dari pantai perairan Sabah baru-baru ini.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, pihaknya mengesan bot yang dikendalikan oleh dua individu berumur kira-kira 40-an sekitar pukul 12.45 pagi ketika bot ronda Zon Maritim Kudat menjalankan rondaan OP PLUTO TIMUR / OP TIRIS.

“Bot tersebut dikesan ketika sedang leka menarik pukat tunda berhampiran tepi pantai  dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua individu terbabit memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Bot bersama kru seterusnya ditahan dan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana menarik pukat dibawah tiga batu nautika dari pantai dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana disyaki memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

Dalam pada itu, Zon Maritim Kudat turut menyeru kepada masyarakat khususnya komuniti maritim untuk  melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast