KATMANDU – Pasukan National Geographic dilaporkan telah menemui mayat Andrew “Sandy” Irvine, seorang pendaki gunung British yang hilang di Gunung Everest hampir 100 tahun lalu, menurut National Geographic.
National Geographic melaporkan dalam berita eksklusif bahawa Irvine, bersama George Mallory, cuba mencapai puncak tertinggi di dunia pada tahun 1924.
Penemuan itu berlaku semasa pasukan National Geographic mendaki gunung berkenaan bulan lalu untuk pembikinan filem.
Mereka menemui but kulit lama dari ais yang cair di Glasier Rongbuk Tengah, di Bawah muka utara Gunung Everest.
Setelah diperiksa lebih dekat, kumpulan itu menemui stokin dengan kaki berada di dalam, pada but dengan jahitan bersulam bertulisan, “A.C. Irvine”.
Kasut itu ditemui berhampiran tempat mayat Mallory ditemui pada tahun 1999.
Mereka percaya ia milik pendaki Inggeris Andrew Comyn “Sandy” Irvine, yang cuba mencapai puncak Everest bersama rakan pendakinya George Mallory pada Jun 1924.
Irvine, 22, dan Mallory, 38, mungkin menjadi orang pertama yang mendaki puncak Everest, walaupun setakat ini mustahil untuk ditentukan, kerana kedua-duanya tidak pernah kembali.
Kehilangan mereka telah mencetuskan salah satu misteri terbesar yang tidak dapat diselesaikan dalam sejarah pendakian iaitu adakah mereka mencapai puncak sebelum kematian mereka?
Jurugambar dan pengarah Jimmy Chin, yang mengetuai pasukan itu, menggambarkan detik penting penemuan itu, bercakap kepada rangkaian televisyen Amerika.
“Saya mengangkat stokin itu dan terdapat label merah yang dicantumkan A.C. IRVINE ke dalamnya,” katanya.
Chin menjangkakan but itu terkeluar daripada ais kira-kira seminggu atau lebih sebelum penemuannya.
Mayat-mayat itu diganggu oleh burung gagak, kata Chin, jadi pasukannya meminta kebenaran daripada Persatuan Pendaki Gunung China-Tibet untuk membawa kaki dan but menuruni gunung dalam peti sejuk.
Walaupun pasukan itu belum dapat memastikan sama ada mayat itu milik Irvine.
Kaki itu akan dibuat ujian DNA dan dibandingkan dengan sampel yang disediakan oleh ahli keluarga Irvine yang masih hidup.
Sebelum penemuan but itu, Chin berkata pasukannya mengenal pasti botol oksigen bertarikh 1933. Pada tahun itu, ekspedisi pendaki menemui kapak ais kepunyaan Irvine.
Chin dan pasukannya tidak mendedahkan di mana sebenarnya kaki yang dipercayai milik Irvine ditemui.
Mayat Mallory ditemui pada tahun 1999.
Tubuhnya patah kaki dan menunjukkan tanda-tanda dia mungkin jatuh. Ramai yang percaya Irvine akan jatuh bersamanya, kerana menjadi amalan biasa bagi pendaki untuk mengikat satu sama lain.
Mallory dilaporkan telah membawa gambar isterinya semasa mendaki Everest, yang dia merancang untuk meninggalkannya di puncak. Foto itu tiada pada dirinya, dan cermin mata saljinya berada di dalam poketnya, menyebabkan beberapa orang percaya dia dan Irvine sememangnya berjaya dalam pendakian mereka.
Irvine dan Mallory cuba mencapai puncak Everest 29 tahun sebelum Edmund Hillary dan Tenzing Norgay mendaki ke puncak itu.
Hillary, seorang penjelajah dari New Zealand, dan Norgay, seorang pendaki gunung Sherpa dari Nepal, adalah dua orang pertama yang diketahui telah sampai ke puncak Everest. – Agensi