Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris menunjukkan paket dadah yang dirampas pada sidang media berkenaan kejayaan anggota polis menumpaskan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Chui Chak, Hilir Perak, pada Khamis lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 OKTOBER 2024.

IPOH – Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah melalui serbuan di sebuah rumah yang disewa di Chui Chak, Langkap di Teluk Intan pada Khamis lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, dalam serbuan pada jam 8 malam itu, polis menahan lima lelaki yang disyaki terlibat dengan aktiviti berkenaan bersama 21.87 kilogram dadah.

Katanya, ketika serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di rumah itu, kesemua suspek tergamam dan tidak dapat melarikan dari daripada kepungan polis.

Ujar beliau, hasil pemeriksaan mendapati, polis menemukan empat paket plastik lutnsinar berisi bahan disyaki dadah jenis Heroin dianggarkan seberat 4.21 gram.

“Turut ditemukan empat paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine anggaran berat 3.12 gram, serta 13 bungkusan plastik mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis sama seberat 21.82 kilogram.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM787,527,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Tambah Azizi, kesemua suspek yang berusia antara 30 sehingga 47 tahun itu ditahan bersama seorang suspek utama.

Kata beliau, hasil semakan mendapati kesemua mereka mempunyai pelbagai rekod lampau di samping suspek utama berusia 47 tahun mempunyai 23 rekod kesalahan lampau dan 18 berkaitan dadah.

Jelas beliau lagi, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan juga mendapati kelima-lima suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Polis menyita dua kereta dan sebuah motosikal dengan anggaran RM 26,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Kes ini disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tujuh hari bermula 11 Oktober,” ujarnya.

Menurut beliau, sindiket ini dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah pada September dan dadah yang dirampas disyaki untuk pasaran tempatan di Perak.

Ujar Azizi, berdasarkan jumlah dadah yang dirampas, ia boleh digunakan untuk seramai 218,664 orang penagih dadah.

“Hasil siasatan awal kita mendapati bekalan dadah diperoleh dari sekitar negeri ini, dan ia mungkin masuk dari luar melalui jalan terbuka sama ada di darat dan laut. Namun, kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here