Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris

IPOH – Polis menahan seorang guru penolong kanan di salah sebuah sekolah rendah di sini pada pagi Sabtu lalu bagi membantu siasatan kes seorang pelajar perempuan yang didakwa dicabul.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, mangsa berusia 12 tahun itu didakwa dipeluk dan dicium selain menerima gambar lucah daripada lelaki berusia 37 tahun itu.

Katanya, penahan guru berkenaan susulan pihak polis menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 47 tahun ekoran insiden yang berlaku kepada anak perempuannya itu, pada jam 3 petang jumaat.

“Hasil semakan rekod jenayah ke atas lelaki itu, polis mendapati tiada menemui rekod jenayah ataupun dadah.

“Permohonan reman ke atas lelaki itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh selama enam hari bermula 12 Oktober bagi siasatan lanjut.

“Polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum penjara selama sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Tambah Azizi, hasil semakan juga mendapati lelaki berkenaan yang masih belum berkahwin telah berkhidmat di sekolah mangsa selama lapan bulan.

Katanya lagi, mangsa juga mendakwa telah beberapa kali diperlakukan begitu oleh guru penolong kanan terbabit.

“Pihak polis memandang serius dan komited dalam menangani isu berkaitan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak terutamanya membabitkan pelajar sekolah.

“Setakat ini pihak polis hanya menerima satu laporan polis, namun kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti ada mangsa lain atau tidak,” katanya lagi.

Media sebelum ini seorang guru penolong kanan lelaki di sebuah sekolah rendah didakwa telah memeluk dan mencium seorang pelajar perempuan di dalam bilik darjah.

Dilaporkan, ibu mangsa turut menemukan gambar tidak senonoh di dalam telefon bimbit anaknya yang dihantar guru terbabit pada September, selain lelaki itu didakwa mengajar pelajar berkenaan cara membuat seks.

Juga dilaporkan guru penolong kanan berkenaan menghubungi pelajar terbabit melalui aplikasi WeChat dan Instagram.

Susulan itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh dilaporkan berkata, pihaknya bersedia untuk mengadakan sesi kaunseling terhadap mangsa berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here