KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 .
Jelas Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, pindaan RUU ini bagi memastikan hak pekerja di negeri itu setara dengan pekerja-pekerja di negeri lain di Semenanjung.
Dengan kelulusan RUU berkenaan, Steven berkata, majikan di negeri terbabit tidak lagi mempunyai alasan untuk menidakkan hak pekerja.
“Dia (majikan) akan bagi alasan ekonomi dan alasan tidak munasabah serta tidak mampu.
“Apa yang kita nak tegaskan disini, ia adalah hak asasi pekerja,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 (RUU OBS) dibentang pada 17 Julai lalu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Pindaan pada kali ini merupakan pindaan kali kedua iaitu hampir 20 tahun selepas pindaan terakhir dilakukan pada 2005.
Antara pindaan yang dimaktubkan adalah bayaran kerja lebih masa dan cuti umum yang bergaji dibawah RM4,000; pengurangan waktu bekerja 45 jam seminggu sama seperti semenanjung; cuti bersalin 98 hari; pengasingan cuti sakit dan cuti hospitalisasi selama 74 hari; Hari Malaysia sebagai hari kelepasan wajib dan cuti paterniti selama 7 hari.
RUU ini dijangka dibentang di Dewan Negara pada awal Disember depan untuk dibahas serta diluluskan. – MalaysiaGazette