KUALA LUMPUR – Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Repositori Dalam Talian SEARCCT (SCORE) yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) menjadi usaha penting dalam mencegah aktiviti pengganas bukan sahaja di Malaysia tetapi Asia Tenggara.
Inisiatif strategik terbaharu Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) itu merupakan platform dalam talian yang komprehensif dan berfungsi sebagai repositori untuk pelbagai bahan rujukan dan penyelidikan yang boleh diekses oleh orang awam.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, SCORE yang dipacu Al boleh mendahului ancaman dan trend keganasan yang bakal muncul.
Menurutnya, dengan menjadikan SCORE boleh diakses oleh rakan kongsi bermaksud bukan sekadar berkongsi maklumat tetapi juga berkongsi beban menangani ancaman yang sentiasa berkembang.
“Walaupun pengganas sering berusaha untuk mengeksploitasi teknologi untuk mengancam dan mengganggu kita, kita mengubah cara dengan menggunakan Al yang canggih untuk melawan.
“Keupayaan Al ini membolehkan kita menjana ringkasan artikel dan laporan yang padat, membolehkan pengamal, penggubal dasar dan penyelidik mengakses maklumat yang berkaitan dengan cepat dan cekap,” kata Mohamad dalam ucapan pelancaran SCORE di sini hari ini.
Ucapan Mohamad dibacakan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin.
Menurutnya, peringkat nasional, repositori data merupakan tonggak kritikal strategi yang lebih luas untuk mengukuhkan rangka kerja keselamatan Malaysia.
Penawaran platform terpusat boleh memastikan kakitangan keselamatan dilengkapi dengan alatan yang diperlukan untuk menjangka, memahami dan bertindak balas.
“Pendekatan seperti ini memupuk kerjasama yang lebih erat merentas sektor, kerana maklumat tidak lagi diasingkan dalam silo tetapi mudah dikongsi.
“Oleh itu, kita harus ingat, bahawa tidak ada satu negara pun yang mampu menangani cabaran seperti keganasan dan ekstremisme ganas sahaja,” tegasnya.
SCORE bakal memenuhi keperluan ahli akademik, pembuat dasar, pengamal dan masyarakat umum yang berminat untuk membina pengetahuan dalam bidang pencegahan keganasan dan menentang ekstremisme.
Ia dirangka sebagai hab pengetahuan utama melalui perkongsian penyelidikan terkini dan analisis kritis bagi menangani cabaran keselamatan global yang berevolusi.
Selain mengumpulkan pelbagai kandungan tempatan, platform ini juga menggalakkan sumbangan daripada pakar dan pengamal dari dalam dan luar negara.
SCORE menampilkan satu fungsi inovatif Summarise with Artificial Intelligence yang membolehkan pengguna merumuskan artikel menggunakan teknologi kecerdasan buatan terkini.
Kemudahan itu boleh dilayari melalui https://score.searcct.gov.my dengan pengguna boleh mendaftar bagi mendapat akses percuma kepada kandungan yang tersedia di laman tersebut.
Majlis pelancaran turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Khidmat Pengurusan) Kementerian Luar Negeri, Datin Paduka Anizan Siti Hajjar Adnin dan Ketua Pengarah SEARCCT, Datuk Ganeson Sivagurunathan.
Turut hadir 130 orang peserta mewakili kementerian dan agensi kerajaan, kor diplomatik, ahli akademik dan organisasi masyarakat sivil.- MalaysiaGazette