SHAH ALAM – Pasukan peguam mewakili pengurusan kanan Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH) menggesa kerajaan tidak mengunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap pengikutnya yang ditangkap menerusi beberapa siri operasi sebelum ini.
Salah seorang peguamnya, Rosli Kamaruddin berkata, kumpulan itu bukan pengganas yang patut ditahan di bawah peruntukan berkenaan.
Sebaliknya, beliau menyeru siasatan dijalankan secara aman dalam masa yang sama berlandaskan ihsan dan perikemanusiaan kepada tahanannya.
Menurutnya lagi, siasatan sepatutnya dijalankan oleh jabatan agama Islam negeri sekiranya wujud dakwaan berkaitan pemesongan akidah.
“Jika ada kes jenayah berlaku dalam komuniti mereka siasat dan tuduhlah itu perkara berasingan,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Turut hadir seorang lagi peguam mewakili pengurusan kanan GISBH, Najib Zakaria.
Rosli berkata, tahanan di bawah SOSMA tidak adil dengan dakwaan dan siasatan yang dikaitkan kerana pengikut GISBH.
“Adakah mana-mana kes yang berkaitan pelanggaran akidah di negeri-negeri atau pun ajaran sesat yang mana tahanan siasatan itu dilakukan menggunakan SOSMA?
“Jadi penggunaan SOSMA dan undang-undang keselamatan untuk kes yang sebegini, saya rayu pihak kerajaan, GISBH rayu pihak kerajaan lakukan siasatan seperti biasa dengan tidak menggunakan undang-undang keselamatan.
“SOSMA adalah sesuatu yang sangat tidak ehsan. Ia membenarkan suatu penahanan jangka masa yang lama dan jika ada pertuduhan yang akan dikaitkan dengan SOSMA, ia menjadikan keadaan tertuduh itu tidak boleh dijamin,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Rosli berpendirian sekiranya siasatan terhadap kumpulan berkenaan terarah kepada amalan bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah maka sepatutnya ia harus ditangani mengikut enakmen kerajaan negeri.
“Tanganilah mengikut enakmen kerajaan negeri yang sedia ada. Berkaitan akidah ini juga dia tidak akan sama keadaannya dengan peruntukan undang-undang di dalam Kanun Keseksaan. Ia akan membawa jurusan yang berbeza antara undang-undang syariah, antara akidah perlawanan atau pun sesuatu yang dikatakan sesat tidak sama dengan apa-apa pertuduhan dalam mana-mana Seksyen Kanun Keseksaan.
“Jadi Kalau ada keraguan mengenai wang, akaun dan sebagainya tanganilah mengikut undang-undang yang sedia ada,” katanya.
Dalam masa yang sama,, aktiviti perniagaan GISBH tidak sepatutnya disekat kerana tidak melibatkan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Biarkanlah usahawa GISBH meneruskan kesinambungan hidup mereka, tiada perniagaan haram didapati dilakukan mereka jalankan di tanah air ini.
“Kami dapati tiada pusat perjudian dilakukan oleh GISBH tiada rumah pelacuran yang di bawah GISBH. Maka siasatan terhadap GISBH ini lakukanlah siasatan mengikut tertib undang-undang dan ihsan. Berilah ihsan kepada mereka, tidak perlu tahanan berulang,” katanya lagi.- MalaysiaGazette