Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke mahkamah bagi memberikan keterangan saksi berhubung saman terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan memfitnah asal usul pada 2017 ketika di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Prosiding saman fitnah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersambung di Mahkamah Tinggi di sini pagi ini.

Dr Mahathir yang berusia hampir mencapai satu abad, tiba tepat jam 9.30 pagi di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum disambut sekumpulan penyokong termasuklah barisan peguam mewakili beliau.

Beliau juga sempat menyapa dan senyum kepada media sebelum naik ke bilik perbicaraan namun kelibat Ahmad Zahid tidak kelihatan.

Difahamkan Timbalan Perdana Menteri itu berada di luar negara atas urusan rasmi.

Perbicaraan akan bermula di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong pada bila-bila masa sahaja.

Sebelum ini, pada 27 Ogos lepas, Dr Mahathir disoal balas oleh peguam Ahmad Zahid, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman, walaupun beberapa kali mahkamah memintanya berehat, bekas Presiden UMNO itu mahu meneruskan prosiding tanpa rehat.

Ketika prosiding sebelum ini, semua jawapan diberikan oleh Dr Mahathir sangat bersahaja malah mengundang gelak ketawa individu-individu yang berada dalam mahkamah itu.

Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sebagai defendan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Katanya, beliau percaya dengan sesungguhnya individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Dr. Mahathir mendakwa, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci oleh masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, kenyataan fitnah Ahmad Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan dipersoal dan diragui.

Katanya, ia juga difahamkan beliau pembohong, tidak boleh dipercayai, mementingkan diri, tidak beretika semasa memegang jawatan awam serta tidak layak untuk menjadi pemimpin atau tokoh masyarakat. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here