Program Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani UTeM ini telah dirasmikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman.

Memberdayakan Komuniti dan Jayakan Program Pemindahan Ilmu di Kampung
Angkat Madani UTeM, Kampung Bukit Nibong Ayer Molek

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan program memberdayakan komuniti dan program pemindahan ilmu di Kampung Angkat Madani UTeM di Kampung Bukit Nibong, Ayer Molek, Melaka, baru-baru ini.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts Dr Massila berkata, menerusi program ini UTeM memainkan peranan dalam pembangunan teknologi dan pemindahan kepakaran yang berimpak tinggi kepada masyarakat menerusi inisiatif komprehensif selari dengan kepakaran dimiliki dan memberi impak langsung kemajuan komuniti selaras dengan semangat Malaysia Madani.

Menurut beliau, pengisian program ini merangkumi empat komponen iaitu Program STEM Pemindahan Kepakaran Kejuruteraan Mahasiswa, Program Asas Keusahawanan, Program Minyak Masak Terpakai dan Program Kaki Palsu Cetakan 3D.

“Program STEM Pemindahan Kepakaran Kejuruteraan Mahasiswa melibatkan para pelajar UTeM berkongsi ilmu dan kemahiran kejuruteraan dengan komuniti, terutamanya kepada generasi muda bagi memupuk minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

“Program Asas Keusahawanan pula bertujuan melahirkan usahawan yang lebih kompetitif dan inovatif dalam menguruskan perniagaan bagi merancakkan pembangunan setempat.

“Sementara itu Program Minyak Masak Terpakai memupuk budaya mengurus bahan buangan dan menjana pendapatan manakala program Kaki Palsu Cetakan 3D pula UTeM memberikan pendedahan teknologi 3D printing untuk menghasilkan kaki palsu dengan kos yang lebih rendah dan lebih cepat,” ujarnya sewaktu Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani UTeM.

Massila berkata, program ini mampu memberikan impak berangkai yang menyentuh beberapa aspek utama dalam konteks pembangunan komuniti setempat secara menyeluruh merangkumi aspek menyemai dan memperkukuh kualiti dan keberjayaan pendidikan buat anak muda, meningkatkan taraf sosio ekonomi setempat, pendedahan teknologi baharu dunia dan sentuhan langsung hubungan strategik antara universiti dan komuniti.

Sempena perasmian Kampung Angkat Madani UTeM tersebut, pihak UTeM Holdings Sdn Bhd (UHSB) turut menyampaikan sumbangan awal sebanyak RM 5,000. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here