Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa

KUANTAN – Seorang pendaki wanita cedera selepas dihempap pokok ketika tidur di dalam sebuah khemah di Kem Seputih, Gunung Tahan, Kuala Tahan, Jerantut awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya dimaklumkan oleh kakitangan Jabatan Perhilitan Pahang berkenaan kejadian tersebut.

Difahamkan, wanita berusia 49 tahun itu bersama sekumpulan pendaki mula melakukan pendakian ke Gunung Tahan dari Sungai Relau, Merapoh pada 7 Oktober lepas dan dijadualkan turun semalam.

“Kita dapati ada kejadian satu kumpulan yang mendaki Gunung Tahan, di mana ketika mereka sedang tidur, salah seorang daripada mereka cedera dihempap pokok dan menyebabkan pinggangnya patah serta tidak sedarkan diri.

“Jabatan Bomba boleh guna jalan darat, tapi boleh mengambil masa dua hari. Jadi kita sedang memohon bantuan menggunakan khidmat helikopter untuk bawa mangsa keluar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian penutup Latihan Pengurusan Bencana (DMEX) Gebeng Emergency MTBE PDH Exercise (GEMPEX) ke-11, yang disertai seramai 356 peserta daripada pelbagai agensi di sini, hari ini.

Latihan yang berlangsung sejak awal pagi itu antara lain adalah bagi mengasah dan memantapkan kemahiran serta keupayaan pasukan penyelamat serta agensi yang terlibat dalam menghadapi bencana khususnya berkaitan dengan insiden melibatkan kawasan industri.  

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar menangguhkan dahulu sebarang aktiviti riadah di kawasan tinggi dan perairan seperti di air terjun ekoran cuaca tidak menentu.

“Kalau di kawasan air terjun kemungkinan boleh berlaku kepala air. Kalau mendaki, mungkin laluan menjadi licin. Keadaan angin yang kuat pula boleh menyebabkan pokok tumbang dan sebagainya. Sebolehnya kita minta tangguh dulu sebab ada banyak risikonya,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here