Lebih 10 individu termasuk wanita dan kanak-kanak diperiksa dan dibawa ke IPK Selangor untuk proses dokumentasi dalam satu serbuan di pusat perniagaan yang sebahagian besarnya dimiliki oleh rangkaian GISBH ketika di Bandar Country Homes, Rawang. Foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Profiling awal telah dijalankan ke atas 558 orang kanak-kanak yang kini berada di bawah perlindungan dan penjagaan Jabaran Kebajikan Malaysia di Tempat-Tempat Selamat bagi mengumpulkan maklumat latar belakang mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara dapatan pengumpulan maklumat profil awal itu sehingga 13 Oktober lalu termasuk maklumat keluarga yang mana 94.3 peratus daripada mereka mengaku masih mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung.

Jelas beliau, seramai 5.7 peratus lagi tidak mempunyai ibu bapa atau tiada maklumat mengenai ibu bapa.

“Bagi penilaian fizikal atau pesihatan, melalui tinjauan, 46.1 peratus kanak-kanak mencatatkan berat badan normal, 51.6 peratus kanak-kanak mencatatkan berat badan di bawah paras Indeks Jisim Badan (BMI) sihat.

“Manakala 2.7 peratus lagi dalam kategori obesiti selain tiga orang orang daripada mereka mempunyai Kad OKU (Orang Kelainan Upaya) manakala 27 orang lagi kanak-kanak mempunyai simptom OKU,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penerangan Menteri Berkenaan Isu Kebajikan Kanak-Kanak Yang Diselamatkan Dalam Op Global Membabitkan GISB.

Mengulas lanjut, Nancy menambah, bagi tahap pendidikan, seramai 56.3 peratus daripada mereka mengaku pernah ‘bersekolah’ sama ada di sekolah kebangsaan, sekolah aliran agama kerajaan, sekolah agama atau pun pusat yang dikendalikan oleh entiti tersebut mahu pun di tempat mereka tinggal.

“Sementara itu, penilaian kognitif awal kanak-kanak telah dilakukan ke atas 385 kanak-kanak yang berumur tujuh tahun ke atas.

“Daripada jumlah itu, lebih kurang 71.95 peratus (277 orang) daripada mereka tidak menunjukkan kecelaruan kognitif.

“Namun, 20.26 peratus (78 orang) menunjukkan mengalami masalah kecelaruan kognitif yang sederhana manakala 7.79 peratus (30 orang) lagi mengalami kecelaruan kognitif yang teruk,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here