Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati ahli-ahli Global Ikhwan Sdn Bhd Hlodings (GISBH) yakin pengasas Aurad Muhamadiah, Syeikh Suhaimi merupakan Imam Mahadi.

Itu jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam sesi penerangan mengenai perkembangan dan tindakan terhadap isu GISBH di Dewan Rakyat hari ini.

“Berdasarkan kepada sesi temu-bual bersama saksi-saksi, JAKIM telah membongkar hasil pengalaman mereka semasa berada dalam Al-Arqam, Rufaqa dan GISBH.

“Antara penyelewengan adalah merangkumi akidah, syariah, akhlak, tasawuf dan muamalat,” jelas Mohd Na’im.

Ini termasuk meyakini Fata At-Tamimi (Pemuda Bani Tamim) merujuk kepada Abuya Ashaari Muhammad yang juga ghaib dan akan muncul bersama Imam Mahdi iaitu Syeikh Suhaimi sebagai pembantunya di akhir zaman nanti.

Mohd Na’im turut berkata, ahli-ahli GISBH turut meyakini bahawa semua ahli akan selamat di alam kubur kerana dibantu daripada syafaat Abuya Ashaari Muhammad untuk menjawab soalan Munkar dan Nakir.

“Jemaah telah didoktrin untuk memohon keberkatan bukan lagi kepada Abuya tetapi kepada kepimpinan seperti Ahli Lembaga Pengarah (GISBH) yang dilantik.

“Amalan bertabarruk iaitu mengharapkan berkat daripada Allah dengan perantara melalui air basuhan tangan, tisu dan kain yang digunakan oleh pemimpin, air rendaman baju, rambut, janggut dan darah bekam pimpinan dan bekas pimpinan,” katanya lagi.

Malah, Mohd Na’im berkata, ahli GISBH turut percaya kepada pelaksanakan solat Jamak setiap hari dan tidak melaksanakan solat Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, pasangan yang telah ditentukan untuk berkahwin perlu melalui pelaksanaan dua kali majlis akad perkahwinan iaitu akad perkahwinan syarie yang diakadkan oleh pemimpin yang berwakilkan wali dan akad perkahwinan secara perundangan yang dilaksanakan oleh pendaftar nikah atau imam yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

Dewan Rakyat hari ini diberikan penjelasan berhubung GISBH dan sekali gus memberi peluang kepada ahli Parlimen berbahas mengenai isu berkenaan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here