Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berucap pada sidang media mengenai OAG Megahubs 2024 di KLIA Terminal 2, Sepang. Foto SADIQ SANI, 15 OKTOBER 2024

SEPANG – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia  menegaskankan komitmen menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab penerbangan terulung dunia setanding Dubai.

Komitmen itu dibuat selari dengan keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM) Capital A Berhad berhubung cadangan pelupusan perniagaan pernerbangan kepada Air Asia X seterusnya membuka lebih potensi kepada pertumbuhan perniagaan kumpulan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, keputusan yang dibuat pada EGM itu merupakan langkah baharu dalam mewujudkan kumpulan penerbangan yang berkuasa dan menjadikan KLIA sebagai hab mega terkemuka dunia.

Menurut beliau, pihaknya kini tampil lebih kuat selepas melalui cabaran dalam masa lima tahun yang mana ia merupakan antara tempoh sukar dalam sejarah penerbangan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) atas persahabatan dan perkongsian lama terjalin yang memainkan peranan penting dalam usaha mengembangkan KLIA sebagai hab penerbangan bertaraf dunia.

“Dengan penyatuan perniagaan penerbangan dan tumpuan lebih kukuh pada perkhidmatan penerbangan, kami membuka peluang pertumbuhan besar-besaran dan memastikan ASEAN menjadi Dubai seterusnya dalam perjalanan udara global,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan A New Dawn For Capital A di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 di sini hari ini.

Terdahulu, EGM yang diadakan semalam, sebanyak 99.97 peratus daripada pemegang saham Modal A mengundi menyokong cadangan pelupusan itu dengan membuka jalan kepada penstrukturan semula Modal A dan keluar daripada status PN17.

Dalam pada itu, Indeks Megahubs OAG 2024 turut menyenaraikan KLIA sebagai lapangan terbang kedua paling bersambung di dunia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow di London.

KLIA menawarkan hampir 14,500 sambungan penerbangan kos rendah ke 137 destinasi di mana sebahagian besarnya dikuasakan oleh rangkaian luas AirAsia.

Untuk rekod, syarikat penerbangan AirAsia dan AirAsia X mengendalikan 43 peratus daripada semua penerbangan di KLIA dan menyumbang 74 peratus daripada jumlah kapasiti penerbangan tambang rendah (LCC). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here