Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang memalu gong sebagai simbolik prapelancaran program INNOMed: Innovation Pitching Powered by PERANTIM di Menara Star, Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – Lebih banyak platform perlu diwujudkan oleh pihak-pihak berkaitan bagi menghubungkan pembangun atau pencipta produk tempatan dengan para pelabur atau pihak industri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, ketika ini, negara berdepan kekangan untuk mengkomersialkan produk yang dibangunkan oleh para pencipta tempatan kerana tidak ada platform tepat untuk golongan itu menonjolkan produk mereka.

Ujar beliau, situasi itu amat merugikan memandangkan negara mengeluarkan banyak produk berkualiti termasuk hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (RnD) di universiti, namun tidak dikomersialkan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

“Secara umumnya, kita berdepan masalah untuk mengkomersialkan produk RnD sedangkan kita ada banyak produk yang bagus, ada ramai pencipta yang bagus, tetapi disebabkan tiada platform khusus, maka produk mereka hanya tinggal di dalam makmal sahaja.

“Jadi, kerajaan sangat menggalakkan inisiatif yang dapat menghubungkan antara pencipta atau pembangun produk dengan pelabur atau pihak industri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau berucap merasmikan prapelancaran program INNOMed: Innovation Pitching Powered by PERANTIM di Menara Star, di sini hari ini.

Program anjuran Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) itu akan diadakan bersempena Persidangan dan Pameran Peranti Perubatan Antarabangsa (MDEC 2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 10 hingga 12 Disember depan.

Menerusi INNOMed: Innovation Pitching, para pembangun dan pencipta produk kesihatan berpeluang membentangkan idea atau reka cipta produk mereka kepada para pelabur atau pihak industri.

Dalam majlis sama, Lih Kang turut menyaksikan pertukaran memorandum persefaham (MoU) antara syarikat Advance Pact Sdn. Bhd. (APSB) dengan MDA melibatkan kerjasama dalam pembangunan ventilator invasif dan bukan invasif mudah alih (VS1) yang dibangunkan oleh APSB ke arah mempercepatkan pertumbuhan dalam sektor peranti perubatan di Malaysia.

APSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Ainol Khabtiah Mohd. Jamil, manakala MDA diwakili Ketua Eksekutifnya, Dr. Muralitharan selain turut dihadiri Pengerusi APSB, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Dalam pada itu, Lih Kang turut memuji penganjuran INNOMed: Innovation Pitching yang disifatkan beliau inisiatif penting dalam menghubungkan para pencipta dengan pelabur, sekali gus dapat menggalakkan usaha mempromosikan R&D.

Sementara itu, beliau turut menyeru para pembangun produk kesihatan di negara ini merebut peluang yang terbuka luas dalam sektor terbabit yang bernilai kira-kira AS$800 bilion.

“Nilai pasaran bagi sektor peranti kesihatan itu sangat besar, maknanya banyak ruang dan peluang yang boleh direbut oleh para pembangun produk peranti kesihatan di negara ini.

“Dari sudut kerajaan, kita sentiasa menggalakkan para pembangun peranti perubatan untuk menyertai sektor ini menerusi penyediaan geran atau dana selain turut melabur dalam syarikat-syarikat pemula yang berpotensi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast