Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes (tengah) bergambar bersama kakitangan Air Asia pada sidang media mengenai OAG Megahubs 2024 di KLIA Terminal 2, Sepang. Foto SADIQ SANI, 15 OKTOBER 2024

SEPANG – Syarikat penyedia penerbangan tambang murah, AirAsia berharap Belanjawan 2025 akan menawarkan lebih banyak inisiatif dalam mempromosi Malaysia sekaligus meningkatkan kehadiran pelancong.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd., Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya tidak mengharapkan sebarang insentif untuk penerbangan sebaliknya berharap bajet lebih besar ditumpukan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Industri pelancongan merupakan penyumbang besar kepada ekonomi dan pemain industri penerbangan boleh bekerjasama dalam menjadikan Malaysia destinasi lebih menarik.

“Matlamat saya adalah untuk bekerjasama lebih dekat dengan Malaysia Airports di mana ia perlu lebih cekap dan kos rendah. Kami memerlukan mereka untuk membantu dalam pengiklanan.

“Saya tidak mencari sebarang insentif khusus dalam Belanjawan 2025 sebaliknya membawa lebih ramai orang dan mengiklankan Malaysia dengan lebih hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan A New Dawn For Capital A di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini hari ini.

Pada masa sama, Tony berkata, kerajaan juga mempunyai banyak fokus yang perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan 2025 dan pemain industri harus berubah daripada mentaliti insentif dan subsidi.

Belanjawan 2025 dijangka dibentangkan pada Jumaat ini di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya mengenai pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan jangkaan daripada pemain industri, Tony memaklumkan, gabungan itu boleh mencapai lebih banyak manfaat menerusi kepimpinan Malaysia.

Jelasnya, tumpuan menyeluruh perlu diberikan bagi memudahkan urusan perniagaan di ASEAN yang mana syarikat yang melabur di rantau berkenaan perlu menerima lebih faedah.

“Ini semua tentang mewujudkan persekitaran menjalankan perniagaan di ASEAN dengan lebih mudah. ​​Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) memberi saya keyakinan bahawa terdapat keikhlasan sebenar dalam mewujudkan pasaran di rantau ASEAN,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here